Selasa, 13 Februari 2024 | 8:49am
Peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid di Mahkamah Putrajaya, Jumaat lalu. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid di Mahkamah Putrajaya, Jumaat lalu. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Segera perjelas rasional keputusan kes Nik Elin elak rakyat terus gelisah

TERNYATA keputusan Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 seksyen dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah terus menimbulkan polemik serta kontroversi. Apa yang berlaku ini lebih menjurus kepada ketidakfahaman awam terhadap bidang kuasa Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil, bukan keluhuran perundangan syariah.

Isu dalam kes ini bukan mengenai kedudukan Islam atau Mahkamah Syariah di Malaysia, tetapi berkenaan sama ada Badan Perundangan Negeri Kelantan membuat peruntukan berkenaan mengikut batasan ditentukan Perlembagaan atau sebaliknya. Ini yang sebenarnya sukar dimengerti kebanyakan orang awam.

Namun, orang awam tidak harus dipersalahkan sepenuhnya akibat ketidakfahaman kepada isu sebenar yang berbangkit dalam kes ini kerana ia menyentuh aspek prinsip perundangan membabitkan pihak menggubal undang-undang atau enakmen pada peringkat negeri, iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN).

Kekeliruan dan ketidakfahaman ini yang menyebabkan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes ini dilihat umum, khasnya umat Islam sebagai mencemar dan menjatuhkan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

Ditambah pula ada pemimpin politik menyemarakkan api kekecewaan umat Islam untuk 'menangguk di air keruh', tetapi pada masa sama menjunjung Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang.

Atas faktor ini, menjadi keperluan kepada kerajaan termasuk kerajaan negeri untuk memberi penjelasan menyeluruh tanpa sebarang sentimen anti-Persekutuan berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan ini.

Paling penting untuk difahami, negara kita hanya mempunyai satu sistem kehakiman, justeru Mahkamah Persekutuan dibekalkan kuasa semakan perundangan untuk memelihara keluhuran Perlembagaan.

Maka, tindakan awal Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) mahu menggerakkan inisiatif dan gerak kerja menyampaikan fakta benar serta tepat mengenai keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes dibawa Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid adalah langkah tepat dan betul.

Peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid di Mahkamah Putrajaya, Jumaat lalu. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid di Mahkamah Putrajaya, Jumaat lalu. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Usaha IKIM ini juga patut disokong Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta jabatan agama Islam negeri (JAIN), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam termasuk pengamal undang-undang sama ada sivil atau syariah. Selain itu, permasalahan berbangkit boleh diselesaikan melalui pindaan undang-undang peringkat Persekutuan dan penggubalan enakmen berkaitan pada peringkat negeri.

Semua pihak berkepentingan dan pemegang taruh dalam sistem perundangan Islam atau syariah tidak boleh membuang masa lagi untuk memberikan kefahaman kepada orang awam kerana lebih lama ia berlegar, semakin sukar dan sulit untuk menunjukkan 'jalan yang lurus' kepada umat Islam susulan keputusan mahkamah terbabit.

Pada masa sama, penggubal undang-undang negeri perlu cakna dan teliti selepas ini jika mahu mewujudkan enakmen baharu bagi mengelak konflik perundangan antara Persekutuan dan negeri, sekali gus mengelak masalah seumpama ini berulang pada masa depan.

Berita Harian X