Selasa, 13 Februari 2024 | 8:00am
Masjid Jamek Al-Marbaw mewujudkan sudut galeri pameran khas di dalam masjid bagi memaparkan infomasi berkaitan sejarah riwayat hidup Syeikh al-Marbaw.- Foto NSTP/Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
Masjid Jamek Al-Marbaw mewujudkan sudut galeri pameran khas di dalam masjid bagi memaparkan infomasi berkaitan sejarah riwayat hidup Syeikh al-Marbaw.- Foto NSTP/Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Pulihara masjid Syeikh al-Marbawi

KUALA KANGSAR: Masjid Jamek Al-Marbawi di pekan Lubuk Merbau, di sini menyimpan kisah tersendiri dengan kedudukannya berhampiran makam persemadian tokoh ulama dan persuratan Arab-Melayu, Allahyarham Syeikh Muhammad Idris Abdul Rauf al-Marbawi atau Syeikh Idis al-Marbawi (Syeikh al-Marbawi).

Pekan kecil Lubuk Merbau yang merupakan kampung halaman ibu bapa Syeikh al-Marbawi turut menyaksikan beliau menabur bakti sebagai pendidik sekali gus orang alim, malah dalam pada riwayat hidupnya sebelum itu juga banyak dicurahkan untuk berkarya selain menuntut serta menyuburkan ilmu termasuk di negara Mesir.

Jasa sumbangan besar Syeikh al-Marbawi yang meninggal dunia pada 1989 masyhur melalui karya kamus beliau iaitu Kamus Idris al-Marbawi Arab-Melayu yang dihasilkannya sejak tahun 1927. Sehingga kini ia masih dianggap sebagai kamus terbaik di rantau Melayu untuk memahami Bahasa Arab.

Atas dasar itu, pihak Masjid Jamek Al-Marbawi melakukan inisiatif bagi mengenang jasa tokoh berkenaan antaranya menerusi usaha pemuliharaan sepenuhnya makam asal Syeikh al-Marbawi, selain mewujudkan sudut galeri pameran khas di dalam masjid bagi memaparkan infomasi berkaitan sejarah riwayat hidup tokoh ulama itu bermula Disember lalu.

Suspek, Amin Gay (tengah), yang ditahan kerana mencuri 2.6 kilogram hiasan emas pada kepala kubah Masjid Al-Huda, Buru, Maluku, Indonesia. - Foto ihsan Polis Indonesia
Suspek, Amin Gay (tengah), yang ditahan kerana mencuri 2.6 kilogram hiasan emas pada kepala kubah Masjid Al-Huda, Buru, Maluku, Indonesia. - Foto ihsan Polis Indonesia

Pengerusi masjid, Osman Rani Yang Ramli, 67, berkata pihak masjid membelanjakan RM6,000 bagi mewujudkan ruang pameran memaparkan riwayat kehidupan serta jasa Syeikh al-Marbawi yang terletak di dewan solat kedua masjid itu. Inisiatif lain digerakkan adalah membukukan tulisan akademik berkaitan Syeikh al-Marbawi.

Beliau berkata, peruntukan RM70,000 yang disalurkan oleh Pejabat Menteri Besar Perak bagi kos penggantian kubah baharu masjid itu susulan kerosakan pada kubah lama turut membantu usaha memulihara dan memelihara masjid berusia 64 tahun itu sekali gus imej Allahyarham Syeikh al-Marbawi.

"Memandangkan kubah lama sudah reput kerana asas binaannya adalah daripada kayu, pihak masjid menukar ganti kubah berkenaan dengan peruntukan mengenainya diluluskan pada awal 2023 oleh Pejabat Menteri Besar.

"Kubah masjid ini wajar diganti bagi keselesaan jemaah memandangkan sebelum ini masjid sering mengalami kebocoran sewaktu hujan. Pada masa sama, bagi menjaga imej masjid yang turut sinonim dengan Syeikh al-Marbawi selaku tokoh ulama," katanya kepada BH.

Menurutnya, masjid yang mampu memuatkan kapsiti 430 jemaah dalam satu-satu masa itu turut pernah menerima sumbangan berupa peruntukan sama antaranya bagi pembinaan kolah mengambil wuduk, pembinaan dewan mini terbuka masjid, serta bagi kerja penukaran karpet di dewan solat.

"Sumbangan yang diperoleh melalui Pejabat Menteri Besar bukan perkara baharu kerana masjid ini pernah memperoleh bantuan daripada Menteri Besar yang terdahulu sebelum Datuk Seri Saarani Mohamad, iaitu membabitkan individu menjawat Menteri Besar yang berbeza-beza," katanya.

Kata Osman Rani, keseriusan pihak masjid memelihara imej Syeikh Al-Marbawi terserlah apabila Biro Pengajian dan Dakwah masjid itu menerbitkan buku kecil bertajuk 'Idris Al-Marbawi & Bahrul Madzi' dengan 104 halaman muka surat yang menghimpunkan enam artikel berbentuk tulisan akademik berkaitan Syeikh al-Marbawi serta kitab Bahrul Madzi karangannya.

Menurutnya, buku terbitan masjid berkenaan hanya boleh dibeli di masjid itu dan hasil jualannya disalurkan 100 peratus kepada tabungan bagi pembangunan masjid itu.

Sejahtera Sosial diletakkan sebagai satu daripada tiga teras pelan pembangunan negeri Perak Sejahtera 2030 cetusan Saarani, selain daripada Komuniti Perak Sejahtera yang merupakan satu daripada 18 'flagship' pelan pembangunan negeri Perak Sejahtera 2030 cetusan Saarani selaku Menteri Besar Perak.

Berita Harian X