Isnin, 12 Februari 2024 | 11:33pm
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said (kiri) berucap ketika melancarkan e-buku ‘Sulu Fraud vs Malaysia’s Truth’ di Brussels, baru-baru ini. - Foto Facebook Azalina Othman Said
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said (kiri) berucap ketika melancarkan e-buku ‘Sulu Fraud vs Malaysia’s Truth’ di Brussels, baru-baru ini. - Foto Facebook Azalina Othman Said

Kerajaan terus usaha batalkan sepenuhnya 'Final Award' tuntutan Sulu

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus teguh dan tegas dalam menegakkan lunas undang-undang untuk pembatalan sepenuhnya 'Final Award' bagi menoktahkan tuntutan kumpulan Sulu dalam mengekalkan kedaulatan dan kepentingan Malaysia.

Hasrat itu disuarakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, dalam lawatan kerja ke Brussels, Belgium bagi mengadakan perjumpaan dengan wakil dari Kesatuan Eropah (EU) yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal undang-undang, baru-baru ini.

"Penipuan kumpulan Sulu menimbulkan kebimbangan bagi mengekalkan tingkah laku, etika, integriti, profesionalisme, dan amalan terbaik dalam kalangan penimbang tara antarabangsa," katanya melalui kenyataan, hari ini.

Pertemuan itu memberi peluang kedua-dua pihak membincangkan isu berkaitan hal ehwal undang-undang EU.

Januari lalu, Malaysia berusaha menamatkan 'Final Award' yang dikeluarkan penimbang tara Sepanyol, selepas Dr Gonzalo Stampa yang terbabit dengan tuntutan kumpulan Sulu didapati bersalah menghina mahkamah dan dijatuhkan hukuman penjara.

Usaha menamatkan 'Final Award' AS$14.9 bilion (RM62.59 bilion) dikeluarkan Stampa ke atas negara ini penting kerana ia akan menoktahkan tuntutan individu yang mendakwa sebagai kumpulan Sulu.

Sementara itu, menurut Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) menggalakkan lebih banyak perbincangan antarabangsa mengenai pengaturan pembiayaan litigasi pihak ketiga susulan kesulitan yang dihadapi Malaysia dalam tuntutan Sulu.

Katanya, Malaysia yakin keseimbangan boleh dicapai antara memelihara akses kepada keadilan dan mengurangkan penyalahgunaan sistem keadilan sivil.

Menurut BHEUU, ia boleh dicapai melalui pelaksanaan rangka kerja pengawalseliaan yang betul untuk pembiayaan litigasi pihak ketiga.

"Dalam konteks ini, menteri menyatakan minat terhadap usaha terkini ahli Parlimen Eropah mengawal selia pembiayaan litigasi pihak ketiga seiring perkembangan industri ini.

"Menteri menganggap usaha pengawalseliaan ini tepat pada masanya dan relevan dengan usaha Malaysia sendiri untuk menangani penyalahgunaan proses arbitrasi dalam tuntutan Sulu yang disebabkan sokongan kewangan pihak ketiga, Therium," katanya melalui kenyataan, hari ini.

BHEUU berkata, kerajaan turut menekankan keperluan supaya lebih banyak ketelusan dan akauntabiliti bagi pembiaya litigasi termasuk dalam proses penyelesaian pertikaian alternatif, sebagai antara komitmen mencegah berulangnya tuntutan palsu seperti dilakukan Sulu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said (dua dari kiri) melancarkan e-buku ‘Sulu Fraud vs Malaysia’s Truth’ di Brussels, baru-baru ini. - Foto Facebook Azalina Othman Said
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said (dua dari kiri) melancarkan e-buku ‘Sulu Fraud vs Malaysia’s Truth’ di Brussels, baru-baru ini. - Foto Facebook Azalina Othman Said

Dalam lawatan kerja itu, Azalina turut melancarkan e-buku 'Sulu Fraud vs Malaysia's Truth', yang diterbitkan oleh kerajaan.

E-buku itu berfungsi sebagai panduan praktikal kepada pembaca, terutamanya rakyat Malaysia, untuk memahami aspek teknikal tuntutan Sulu.

Ia juga secara ringkas merangkumi latar belakang sejarah, peranan pembiaya litigasi pihak ketiga, kemenangan penting yang dicapai oleh Malaysia di mahkamah Eropah, jadual waktu tuntutan Sulu, dan fakta tambahan yang relevan dengan prosiding.

Berita Harian X