Isnin, 12 Februari 2024 | 10:11pm
SMK DARY mendedahkan warganya, terutama pelajar kepada kelestarian melalui projek amalan hijau.
SMK DARY mendedahkan warganya, terutama pelajar kepada kelestarian melalui projek amalan hijau.

SMK DARY wujud 25 laman dedah kelestarian, inovasi amalan hijau

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

[email protected]

PARIT: Keluasan pekarangan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Abdul Rahman Yaakub (DARY), di sini dimanfaatkan sepenuhnya dengan mewujudkan 25 laman tanaman tumbuh-tumbuhan di dalamnya, sekali gus mendedahkan warganya, terutama pelajar kepada kelestarian melalui projek amalan hijau.

Sekolah dalam kawasan pinggir bandar itu pernah dinobatkan dengan pelbagai pengiktirafan termasuk di peringkat global berkaitan keseimbangan ekosistem hijau, antaranya sebagai penerima pertama Anugerah 'Green Flag' di Perak menerusi program lestari antarabangsa 'Eco-Schools'.

Program pendidikan serta alam sekitar Eco-Schools di Perak yang dimulakan sejak 2021, dijayakan bersama rakan kolaborasi Green Growth Asia Foundation (GGAF) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak serta Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc.).

Guru penyelaras Eco-Schools SMK DARY, Hashimah Harun, berkata kewujudan 25 taman atau tapak semaian yang disediakan mengikut spesifikasi ditetapkan menerusi program Eco-Schools di sekolah itu membolehkan pembelajaran luar bilik darjah merentas kurikulum iaitu berkaitan kelestarian dan keseimbangan ekosistem.

Katanya, Eco-Schools adalah rogram kelestarian berasaskan projek amalan hijau yang selari dengan kerangka Matlamat Pembangunan Mampan (SDG). Ini membolehkan sekolah itu hadir dengan beberapa projek inovasi berkaitannya hingga berjaya memperoleh johan termasuk dalam pertandingan inovasi peringkat kebangsaan.

Menurutnya, ia termasuk inovasi menggunakan kulit buah durian sebagai bahan utama yang digunakan untuk menguji kadar penyerapan bunyi dinamakan sebagai 'Durio Wall'; penghasilan sos cili serai melalui serai yang ditanam sekitar sekolah; penggunaan daun oregano sebagai sumber utama menghasilkan racun serangga organik bebas kimia dan penghasilan baja kompos yang diperbuat daripada daun serta rumput kering.

"Pembabitan pihak sekolah dalam program 'Eco-Schools' turut membolehkan SMK Dary mencipta nama dalam dua rekod kebangsaan menerusi Malaysia Book of Record (MBOR) yang berkaitan program kelestarian alam sekitar di sekolah iaitu rekod MBOR kempen minuman probiotik berserta dengan kempen makan salad sayur-sayuran terbanyak.

"Selain rekod MBOR membabitkan penggunaan 'pop-up art' dan kaedah akuaponik daripada bahan terpakai. Anugerah GPM Global Sustainability Awards juga diperoleh daripada GPM Global USA diperoleh menerusi inovasi racun serangga organik dari oregano," katanya kepada BH.

Sementara itu, MB Inc melalui beberapa hantarannya di Facebook, menyatakan selaku syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri, badan itu turut bersama memupuk kesedaran dalam kalangan pelajar sekolah dan komuniti dengan menekankan keseimbangan ekosistem secara menyeluruh.

Selain komited untuk terus memacu agar generasi sayangi alam sekitar antaranya menerusi pembabitan dalam program 'Eco-Schools' di Perak, yang membabitkan kira-kira 50 sekolah di Perak dengan sasaran 100 sekolah menjelang 2025.

Setakat Ogos tahun lalu, sembilan sekolah di Perak yang mempratikkan program dan projek amalan hijau yang selari dengan kerangka Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) itu terpilih menerima penganugerahan antarabangsa 'Green Flag Award'.

MB Inc turut menyatakan komitmennya untuk terus terbabit dalam Eco-Schools Malaysia dan akan menyokong program kelestarian di sekolah, khususnya di negeri ini. Ia selari dengan intipati atau 'flagship' Perlombongan Bertanggungjawab menerusi pelan Perak Sejahtera 2030 cetusan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dengan MB Inc diletakkan sebagai agensi penerajunya.

Eco-Schools juga dapat memberi impak positif kepada kerajaan negeri dengan melahirkan 'duta hijau' atau 'duta kelestarian' yang akan berkongsi mesej alam sekitar serta menyemai rasa masyarakat yang bertanggungjawab untuk hidup secara mampan.

Berita Harian X