Isnin, 12 Februari 2024 | 1:42pm

'Saya nak mama berehat...mama sakit'

PENDANG: "Saya bangun jam 6 pagi untuk memasak dan suap mama makan dulu sebelum ke sekolah. Saya nak mama berehat kerana mama sakit," kata Nur Aulia Imani Mohamad Sharifuddin yang baru berusia sembilan tahun tetapi sudah memikul tanggungjawab menguruskan keluarga, selain menjaga ibunya yang menghidap kanser ovari.

Tugas dipikulnya itu bermula apabila ibunya, Nurul Naajua Zulkeply, 30, disahkan menghidap kanser ovari pada awal bulan lalu selepas perutnya membuncit seperti ibu hamil.

Sejak itu, Nur Aulia Imani bangun seawal jam 6 pagi untuk memasak dan menyuap makan serta minuman kepada ibunya sebelum dia ke sekolah pada jam 7 pagi.

Selepas pulang sekolah, dia membantu ibunya memasak makan tengah hari untuk keluarga, selain mencuci pakaian serta mengemas rumah.

"Saya nak mama berehat kerana tak mahu dia bertambah sakit, sebab itulah saya bantu mama buat kerja rumah rumah.

"Saya pergi sekolah macam biasa dan menyiapkan kerja sekolah pada waktu malam selepas selesai semua kerja rumah.

"Kalau mama masuk hospital, saya akan uruskan adik, Ainur Delisha, 5, di rumah termasuk menyuap makan minum serta memandikannya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Batu Menunggal, di sini, semalam.

Nurul Naajua pula berkata, pada mulanya dia menyangka hamil kerana perutnya berisi dan semakin besar.

Katanya, disebabkan itu, dia pergi ke klinik untuk melakukan pemeriksaan dan doktor mengesyaki dalam perutnya ada cecair sebelum memintanya merujuk kes itu ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar.

"Doktor mencadangkan supaya cecair itu dibuang segera dan kali pertama ia dibuang pada 8 Januari lalu, manakala kali kedua dibuang pada 6 Februari lalu.

"Selepas itu, doktor mengesahkan saya menghidap kanser ovari dan menjalani rawatan kemoterapi kali pertama, enam hari lalu.

"Saya bersyukur kerana Nur Aulia Imani yang juga anak sulung banyak membantu menguruskan makan minum kerana saya tidak berdaya melakukan kerja rumah disebabkan kanser dialami ini," katanya.

Suaminya, Muhammad Sharifuddin Zainol, 41, yang bekerja sebagai mekanik dengan gaji harian tidak menentu, berkata wang diperoleh itu digunakan untuk membeli barang keperluan makanan setiap hari, selain disimpan untuk membayar rawatan kemoterapi serta kos hospital lain.

"Kami menumpang tinggal di rumah bapa, Zulkefly Abu Hassan, 72, dan dia pula mempunyai masalah darah tinggi selain faktor usia," katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Rakyat

221331190194 milik Nurul Naajua Zulkefly atau menghubungi talian 019-6010540 bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Sementara itu, Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal yang menziarahi Nurul Naajua menyampaikan sumbangan wang tunai, susu formula khas dan barang keperluan dapur.

Selain itu, pihaknya juga akan terus memberi sokongan kepada Nurul Naajua supaya meneruskan rawatan di hospital.

Nur Aulia Imani (tengah) dan adiknya, Ainur Delisha, menjaga Nurul Naajua yang menghidap kanser ovari. NSTP/ZULIATY ZULKIFFLI
Nur Aulia Imani (tengah) dan adiknya, Ainur Delisha, menjaga Nurul Naajua yang menghidap kanser ovari. NSTP/ZULIATY ZULKIFFLI
Berita Harian X