Isnin, 12 Februari 2024 | 1:08pm
Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang. Gambar fail
Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang. Gambar fail

'Pindaan enakmen kanun jenayah syariah perlu diselaraskan pada peringkat Persekutuan'

KUALA LUMPUR: Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) berharap pindaan enakmen kanun jenayah syariah perlu diselaraskan pada peringkat Persekutuan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Bagaimanapun, Presidennya, Musa Awang, berkata pindaan itu perlu datang daripada negeri berkenaan kerana hanya negeri itu yang lebih tahu masalah uruf masyarakat masing-masing.

Susulan itu, beliau berkata, negeri juga seharusnya menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk mengkaji perkara ini dengan memanggil semua pemegang taruh berkaitan dan semua pihak yang terbabit dengan Mahkamah Syariah untuk berbincang serta menilai langkah ke arah pemerkasaan Mahkamah Syariah negeri termasuk melakukan pindaan undang-undang di negeri.

Katanya, pada peringkat Persekutuan, kerajaan boleh menubuhkan Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Berkaitan Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam.

"Keputusan kes membabitkan peguam, Nik Elin Zurina Abdul Rashid boleh dijadikan pencetus untuk memperkasakan lagi undang-undang syariah dan Mahkamah Syariah di negara ini khususnya pada peringkat negeri.

"Jadi, kita harap pindaan enakmen kanun jenayah syariah yang mahu dibuat negeri, perlu diselaraskan pada peringkat Persekutuan oleh JAKIM.

"Kita serahkan kepada Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Berkaitan Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-Undang Islam ini bagi mengemukakan cadangan yang berkaitan," katanya di sini, hari ini.

Sebelum ini, Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

Panel lapan hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan itu selepas membenarkan petisyen dikemukakan Nik Elin Zurina dan anaknya,Tengku Yasmin Nastasha yang kedua-duanya adalah peguam dan anak jati Kelantan.

Keputusan berkenaan dicapai melalui penghakiman majoriti 8-1 dengan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli membuat keputusan berbeza berdasarkan locus standi.

Tengku Maimun dalam penghakiman panel berkata, mahkamah membenarkan petisyen itu kerana DUN membuat undang-undang yang ia tidak mempunyai kuasa untuk membuatnya.

Kedua-dua pempetisyen memohon Mahkamah Persekutuan membatalkan 18 kesalahan syariah dalam enakmen Kelantan atas alasan DUN terbabit bertindak melangkaui bidang kuasanya.

Musa berkata, prosedur dan tatakelola yang tidak seragam di beberapa negeri pada masa ini agak 'meletihkan dan memenatkan' pengamal undang-undang mahkamah syariah.

"Secara peribadi, pengalaman saya beramal di beberapa negeri, prosedur dan tatakelola yang tidak selaras antara negeri agak 'meletihkan' dan 'memenatkan' kami pengamal undang-undang di Mahkamah Syariah.

"Contoh mudah, bagi tuntutan pengesahan lafaz cerai atau poligami, ada negeri yang memulakan prosiding dengan 'saman dan pernyataan tuntutan', tetapi ada juga negeri yang menggunakan 'permohonan dan afidavit'. Mengapa perkara sekecil ini tidak dapat kita selaraskan," katanya.

Berita Harian X