Isnin, 12 Februari 2024 | 12:55pm
Seorang penumpang bas ekspres bersama isteri dikenakan bayaran sehingga RM862 bagi perjalanan dua hala dari Johor Bahru ke Gopeng, Perak yang didapati terlalu mahal. - Foto CAP
Seorang penumpang bas ekspres bersama isteri dikenakan bayaran sehingga RM862 bagi perjalanan dua hala dari Johor Bahru ke Gopeng, Perak yang didapati terlalu mahal. - Foto CAP

Gantung lesen syarikat bas ekspres kenakan tiket mahal ketika musim perayaan - CAP

GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Pengangkutan menggantung lesen perkhidmatan bas ekspres terhadap syarikat pengusaha yang sengaja mengenakan caj tiket mahal terhadap penumpang terutamanya ketika musim perayaan.

Ia susulan aduan seorang penumpang yang mendakwa dirinya dan isteri dikenakan bayaran tiket berjumlah RM862 bagi perjalanan dua hala dari Johor Bahru ke Gopeng, Perak.

Pegawai Pendidikan Kanan CAP, N V Subbarow, berkata pihaknya kecewa dan terkejut selepas menerima aduan yang dibuat secara peribadi oleh penumpang berkenaan.

Katanya, penumpang itu memaklumkan membuat pembelian tiket bas untuk dia dan isterinya secara dalam talian, sebulan lalu sebelum perayaan Tahun Baharu Cina.

"Kita mendapati kenaikan harga tiket untuk perjalanan dua hala itu antara 270 hingga 340 peratus.

"Melalui semakan, harga biasa tiket bas dijual bagi perjalanan satu hala adalah RM 70 tetapi penumpang dikenakan bayaran dari RM 190 (pergi) dan RM 241 (bayaran balik).

"Penumpang itu mengembara bersama isterinya untuk bertemu rakan mereka dalam satu majlis yang menjadikan bayaran tiket keseluruhan berjumlah RM862," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Subbarow berkata, pihaknya menyifatkan caj tiket yang begitu mahal adalah satu eksploitasi terhadap pengguna.

"Kita terkejut dan kecewa kerana Menteri Pengangkutan sudah berkali-kali memberi amaran kepada industri bas supaya tidak mengenakan caj berlebihan kepada penumpang semasa musim perayaan.

"Tetapi tiada siapa yang mendengar kata menteri. Beberapa syarikat bas ekspres memperoleh wang yang besar sebagai keuntungan daripada pengguna atas nama perayaan.

"Oleh itu, CAP menggesa kementerian mengambil tindakan tegas terhadap syarikat bas ekspres yang mengenakan caj berlebihan kepada penumpang antaranya dengan menggantung lesen perkhidmatan, apatah lagi kebanyakan yang suka menaiki bas ekspres adalah dari kumpulan B40," katanya.

Beliau berkata, Kementerian Pengangkutan juga sepatutnya menyediakan meja aduan untuk penumpang yang dieksploitasi oleh syarikat bas ketika musim perayaan bagi membolehkan tindakan sewajarnya dapat diambil.

Berita Harian X