Isnin, 12 Februari 2024 | 12:12pm
Foto BERNAMA
Foto BERNAMA

Kadar SST dinaikkan: Beri manfaat rakyat dalam bentuk bantuan tunai - Penganalisis

KUALA LUMPUR: Hasil tambahan daripada cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang dinaikkan kepada 8.0 peratus berupaya memberi manfaat kepada rakyat dalam bentuk bantuan tunai, penambahbaikan infrastruktur di bandar dan penjagaan kesihatan dalam kalangan penduduk yang semakin menua di negara ini.

Sebelum ini kadar SST ialah pada 6.0 peratus dan kadar baharu cukai itu (8.0 peratus) yang berkuat kuasa 1 Mac, 2024 tidak merangkumi perkhidmatan untuk makanan dan minuman, telekomunikasi, tempat letak kereta dan logistik.

Menurut Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, langkah itu adalah tindakan yang betul kerana ia akan memberi lebih banyak hasil dan merapatkan jurang belanjawan Malaysia dengan berkesan.

"Ia akan melengkapkan langkah-langkah lain kerajaan seperti rasionalisasi subsidi dan reformasi pencen, yang akhirnya mengurangkan defisit fiskal.

Langkah itu juga dilihat sebagai usaha kerajaan untuk mengawal kewangannya supaya lebih berdaya tahan dan memastikan defisit dan paras hutang berada dalam trajektori yang lebih rendah seperti yang ditetapkan dalam Akta Tanggungjawab Fiskal dan Kewangan Awam.

Ini seterusnya akan meningkatkan kredibiliti kerajaan dan boleh meningkatkan keyakinan pelabur, tambahnya.

Ia juga akan memperluaskan skop perkhidmatan bercukai termasuk pembrokeran, pengunderaitan dan karaoke, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat.

Melabur semula dalam sektor penjagaan kesihatan ketika Malaysia ke arah negara menua

Hasil yang lebih tinggi bermakna kerajaan mampu untuk menetapkan lebih banyak perbelanjaan.

Sehubungan itu, Ketua Cukai Tidak Langsung PwC Malaysia, Raja Kumaran mencadangkan supaya kerajaan memulangkan kembali kepada sektor penjagaan kesihatan untuk bersedia menghadapi populasi yang semakin tua.

Beliau berkata lebih banyak pelaburan perlu diketepikan untuk menjadikan infrastruktur di bandar lebih mesra, mudah diakses dan perkhidmatan 'sedia diguna untuk golongan berusia' bagi menampung segmen tersebut.

Raja berkata membangunkan pendidikan yang komprehensif untuk menyokong celik kesihatan dalam kalangan penduduk yang semakin tua juga penting kerana dilaporkan bahawa penduduk yang semakin tua di Malaysia berkembang pada kadar yang lebih cepat berbanding 30 tahun lalu.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah mengunjurkan bahawa Malaysia akan mencapai status negara menua lebih awal daripada yang dijangkakan di tengah-tengah penurunan nisbah kadar kelahiran kasar dan kadar kematian kasar di negara ini.

Ini telah memberi kesan kepada struktur penduduk Malaysia, kata Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Beliau berkata berdasarkan kadar kelahiran kasar dan kadar kematian kasar negara ini, secara purata 14.4 orang dilahirkan dan 5.1 orang yang mati bagi setiap 1,000 penduduk pada 2020, dengan nisbah 2.8 kelahiran bagi setiap satu kematian.

Beliau berkata, pada sepuluh tahun lalu, secara purata 17.2 orang dilahirkan dan 4.6 orang yang mati bagi setiap 1,000 penduduk, dengan nisbah 3.7 kelahiran bagi setiap satu kematian.

Sebelum ini, DOSM berkata, Malaysia dijangka menjadi negara menua menjelang 2030 apabila 15.3 peratus penduduknya adalah mereka yang berusia 60 tahun ke atas.

Memperluaskan bantuan tunai untuk B40 and M40

Sementara itu, Mohd Afzanizam mengesyorkan hasil tambahan daripada cukai itu diperuntukkan kepada program pemberian tunai seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), yang bertujuan membantu rakyat Malaysia menghadapi peningkatan kos sara hidup dan bantuan tunai Sumbangan Asas Rahmah (SARA) untuk golongan miskin dan isi rumah miskin tegar.

"Apa yang boleh dilakukan ialah dengan menambah peruntukan.

"Namun, ini secara jelasnya sangat bergantung kepada kedudukan kewangan kerajaan yang mana keperluan untuk menaikkan cukai dan merasionalkan subsidi adalah wajar," jelasnya.

Sejumlah sembilan juta individu yang layak atau 60 peratus daripada populasi dewasa di negara ini akan mendapat manfaat daripada STR 2024, dengan kerajaan meningkatkan peruntukan STR 2024 kepada RM10 bilion berbanding RM8 bilion untuk tahun sebelumnya.

Kadar maksimum STR dinaikkan kepada RM3,700 pada tahun ini berbanding RM3,100 pada tahun lalu, manakala kadar minimum STR untuk golongan belia juga akan dinaikkan daripada RM350 kepada RM500.

Pada Januari, Perdana Menteri berkata bagi tahun ini program SARA akan memanfaatkan lebih 700,000 penerima dengan peruntukan sebanyak RM700 juta, meningkat lima kali ganda, berbanding 210,000 penerima dengan perbelanjaan sebanyak RM130 juta pada tahun lepas.

Program itu juga turut ditambah baik dengan memperluaskan penerima yang layak kepada golongan miskin berbanding golongan miskin tegar pada tahun lepas.

Anwar berkata kenaikan dalam jumlah peruntukan itu bertujuan menambah baik SARA sebagai bantuan subsidi bersasar kepada golongan yang paling terkesan dengan kenaikan kos sara hidup. – BERNAMA

Berita Harian X