Isnin, 12 Februari 2024 | 11:46am
Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid (kiri) dan Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman pada sidang media di Putrajaya, Jumaat lalu. - NSTP/FOTO FAIL
Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid (kiri) dan Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman pada sidang media di Putrajaya, Jumaat lalu. - NSTP/FOTO FAIL

Kes Nik Elin: Pakar perlembagaan senarai 6 desakan

KUALA LUMPUR: Jumaat lalu, Mahkamah Persekutuan, dalam satu keputusan bersejarah, mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

Keputusan terhadap petisyen dikemukakan peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman itu dibacakan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Beliau yang mengetuai panel sembilan hakim memaklumkan penghakiman itu dicapai melalui majoriti 8-1 selepas mahkamah memutuskan dua lagi kesalahan dalam enakmen berkenaan yang disenaraikan dalam petisyen difailkan dua beranak itu adalah sah.

Antara kesalahan dalam enakmen itu yang diisytiharkan batal dan tidak sah adalah Seksyen 11, iaitu memusnahkan atau mencemarkan tempat ibadat, kesalahan liwat (Seksyen 14) dan persetubuhan dengan mayat (Seksyen 16).

Tengku Maimun berkata, petisyen itu dibenarkan kerana badan perundangan negeri membuat undang-undang yang ia tiada kuasa membuatnya dan tiada kena mengena dengan kedudukan Islam atau mahkamah syariah.

Keputusan berkenaan mengundang pelbagai reaksi, termasuk pihak yang turut mengaitkan penghakiman Mahkamah Persekutuan itu dengan politik, selain mengemukakan pelbagai cadangan.

Pandangan terbaharu oleh pakar perlembagaan, Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof yang hari ini menyenaraikan enam tindakan segera disaran diambil kesan keputusan Mahkamah Persekutuan itu.

Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof. - NSTP/FOTO FAIL
Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof. - NSTP/FOTO FAIL

Pertama, katanya, kerajaan khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan polis digesa mengambil tanggungjawab menguatkuasakan undang-undang Persekutuan berkaitan 16 peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 terbabit.

"Kerajaan juga perlu segera mewujudkan satu mekanisme penyelarasan penguatkuasaan jenayah antara pihak-pihak berkuasa agama dan polis.

"Ia agar keputusan kes Nik Elin tidak menyebabkan wujud kelompangan dalam penguatkuasaan undang-undang berkaitan kesalahan jenayah yang digugurkan dari enakmen jenayah syariah dan kesalahan-kesalahan lain yang wajar ditangani secara bersama," katanya.

Muhammad Fathi yang juga Profesor Madya Undang-Undang, Pusat Polisi Perdana, Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia juga ada gesaan terhadap Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI).

Katanya, MKI perlu bertindak lebih pantas dan bertanggungjawab dalam usaha memartabatkan undang-undang Islam di negara ini, termasuklah dalam menangani implikasi keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Nik Elin.

Beliau turut mencadangkan MKI menubuhkan Jawatankuasa Khas Harmonisasi Undang-undang Persekutuan bagi menggerakkan usaha menerapkan prinsip Islam dalam sistem perundangan di peringkat Persekutuan secara sistematik dan strategik.

Pada masa sama, Muhammad Fathi menggesa semua pihak agar tidak menganggap perundangan Islam sebagai wilayah kekuasaan khusus pihak berkuasa negeri, tetapi sebagai satu amanah yang dipikul secara bersama di peringkat negeri dan Persekutuan.

"Oleh itu, Kerajaan Persekutuan perlu diberi ruang seluas-luasnya untuk memperkenalkan undang-undang berteraskan Islam tanpa diikat dengan tapisan birokrasi yang melambatkan usaha memartabatkan syariat Allah di bumi Malaysia," katanya.

Tindakan keenam, beliau mencadangkan kesatuan dan kebersamaan seluruh umat Islam tanpa mengira perbezaan latar belakang politik dan pemikiran perlu menjadi keutamaan dalam memartabatkan perundangan Islam di Malaysia.

"Rundingan antara kerajaan negeri dan Persekutuan dengan mengetepikan sempadan politik demi kepentingan Islam amat-amat diharapkan," katanya.

Muhammad Fathi menegaskan, definisi 'jenayah Syariah' menurut prinsip syariah yang sebenar adalah meliputi semua jenis jenayah kerana syariat Islam bersifat syumul atau menyeluruh.

"Justeru, kesalahan seperti rasuah, menculik, menipu, memukul, menyeleweng duit, merosakkan alam sekitar dan lain-lain adalah jenayah menurut syariah.

"Jadi sempadan sebenar jenayah syariah untuk dibandingkan dengan jenayah sivil sebenarnya tidak wujud. Sempadan yang wujud, hakikatnya adalah sempadan di antara bidang kuasa negeri dan Persekutuan," katanya.

Atas sebab itu, katanya, sudut pandangan perjuangan membela syariah perlu diperluaskan dan tidak terperangkap kepada istilah 'syariah' pada perkataan 'Mahkamah Syariah' dan istilah 'undang-undang Islam' di bawah bidang kuasa negeri dalam Butiran 1, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan, Perlembagaan.

"Tanggungjawab melaksanakan undang-undang Islam hakikatnya berada pada kerajaan Persekutuan," katanya turut mengingatkan agar perbincangan berkaitan kes Nik Elin tidak terlalu berbentuk meletakkan kesalahan kepada mana-mana pihak.

"Atau mengeluh dengan kuasa perundangan yang terhakis terutamanya di pihak kerajaan negeri. Apa yang perlu diutamakan ialah tindakan proaktif yang membuka jalan melaksanakan syariah yang lebih meluas di peringkat yang lebih besar," katanya.

Berita Harian X