Ahad, 11 Februari 2024 | 5:52pm
Presiden Badan Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar. - FAIL NSTP
Presiden Badan Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar. - FAIL NSTP

Pinda Perlembagaan Persekutuan untuk perbetul kepincangan, perjelas kuasa

KUALA LUMPUR: Perbezaan ketara dari segi tafsiran peruntukan undang-undang jenayah Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah mendorong wujudnya desakan supaya Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi memberi penjelasan kuasa.

Presiden Badan Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, berkata keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah, memperlihatkan kepincangan yang perlu diperbetulkan segera.

"Ada yang kata biarlah 16 hukuman jenayah syariah itu tidak sah, Mahkamah Sivil masih ada, ia juga takzir dan hukumannya lebih berat.

"Bagi saya jenayah sivil itu bukan sepenuhnya takzir, malah wujud perbezaan dalam pembuktian, keterangan dan sabitan.

"Hakim Mahkamah Sivil tidak dilatih dalam bidang penghukuman takzir kerana hanya sesetengah yang belajar (mengenainya)," katanya kepada BH, hari ini.

Kelmarin, Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 seksyen dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

Panel lapan hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, membuat keputusan itu selepas membenarkan petisyen dikemukakan seorang peguam, Nik Elin Zurina dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman.

Antara peruntukan kesalahan dalam enakmen itu yang terbatal adalah Seksyen 11 iaitu memusnahkan atau mencemarkan tempat ibadat, kesalahan liwat (Seksyen 14) dan persetubuhan dengan mayat (Sesyen 16).

Zainul Rijal berkata, itu sebabnya Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda, mengambil kira maksud jenayah dalam hukum syarak dan sivil mempunyai pengertian berbeza.

Untuk Mahkamah Sivil, katanya, sesuatu perbuatan akan menjadi jenayah jika menyalahi undang-undang dibuat pemerintah, namun pengertian jenayah berbeza bagi hukum syarak.

"Undang-undang syariah berdasarkan perbuatan dilarang Allah. Pengertian berbeza ini menyebabkan pertimbangan hukuman menjadi berbeza.

"Contohnya, undang-undang sivil meletakkan kesalahan judi jika individu berjudi di tempat tidak dilesenkan namun bagi hukum syarak, judi dilarang tanpa mengira tempat dilakukan.

"Bagi kesalahan zina, mengikut undang-undang sivil, mereka yang berusia 16 tahun ke atas tidak dikira sebagai kesalahan jika berlaku atas kerelaan hati dan hanya dikira kesalahan jika terpaksa.

"Dari segi hukum syariah, zina tetap salah sama ada rela atau tidak," katanya.

Beliau mengesyorkan Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan yang menggariskan undang-undang yang boleh dibuat Parlimen dan badan perundangan negeri dipinda.

"Definisi jenayah perlu dijelaskan dan ia tidak termasuk kesalahan jenayah syariah bagi orang Islam.

"Perlembagaan Persekutuan juga perlu dipinda untuk menjelaskan kuasa Mahkamah Sivil dan Syariah. Oleh kerana sekarang tidak jelas, Mahkamah Persekutuan terpaksa membuat tafsiran mengikut pendirian hakim," katanya.

Mengenai isu hukuman bagi kes jenayah di Mahkamah Syariah tidak seberat Mahkamah Sivil, beliau menjelaskan, prinsip hukuman dalam Islam bukan untuk mendera tetapi mendidik.

Pada masa sama, katanya, Kerajaan Persekutuan disaran segera menggubal 16 seksyen terbabit yang diisytihar sebagai tidak sah.

Beliau berkata, pindaan bagi Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 penting dalam memperkasa semula bidang kuasa Mahkamah Syariah.

"Pindaan Akta 355 akan meningkatkan takat hukuman dan meletakkan hukuman restoratif lain sebagai sah untuk dijatuhi Mahkamah Syariah.

"Ia akan membolehkan Dewan Undangan Negeri (DUN) membuat hukuman lebih dari tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam kali sebatan syariah.

"Pindaan ini tidak dibuat oleh mana-mana kerajaan. Jangan salahkan mana-mana kerajaan, salahkan semua kerana tidak meminda Akta 355," katanya.

Zainul Rijal berkata, pemerkasaan Mahkamah Syariah penting bagi mengelak berulang kes jenayah syariah seperti pertuduhan terhadap Iki Putra yang kekal bebas daripada pertuduhan liwat,

Iki Putra sebelum ini mencabar kesahihan enakmen jenayah syariah dengan mendakwa negeri atau Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa menggubal dan membicarakan kes jenayah liwat.

Sementara itu, bekas Ketua Hakim Syarie Perak, Datuk Muhamad Asri Abdullah, berkata bidang kuasa Mahkamah Syariah menggubal undang-undang Islam berkaitan jenayah kabur dan tidak jelas.

"Kuasa DUN menggubal undang-undang Islam berkaitan jenayah seperti dinyatakan dalam Perlembagaan, kabur dan tidak jelas.

"Jadual Kesembilan Perlembagaan Senarai Kedua tidak memperincikan perkara berkenaan seperti dalam kes sivil.

"Dalam perkara jenayah, Perlembagaan tidak menyebut satu persatu jenis kesalahan, peruntukan berkenaan hanya disebut secara umum iaitu 'pengwujudan dan penghukuman kesalahan oleh orang yang menganut agama Islam terhadap perintah agama itu, kecuali berkenaan perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan'," katanya.

Beliau berkata, ia menjadi punca pertikaian sama ada kesalahan jenayah berkenaan dikatakan bertindih antara bidang kuasa Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah.

Justeru, tegasnya, ini masanya kerajaan Persekutuan dan negeri membuat perubahan bagi mengatasi kelemahan seperti diputuskan Mahkamah Persekutuan dalam Kes Nik Elin Zurina vs Kerajaan Negeri Kelantan, kes lain yang telah diputuskan dan yang bakal dibawa ke mahkamah.

"Ini masanya kita membuktikan kewujudannya bertujuan mengharmonikan keperluan atau hajiyyat masyarakat Islam dan bukan Islam," katanya.

Berita Harian X