Ahad, 11 Februari 2024 | 4:51pm

RM666,577 lesap angkara 'scammer'

KUALA TERENGGANU: Polis menerima 24 laporan antara 4 Februari hingga semalam berhubung pengurangan wang di dalam akaun milik individu yang menggunakan pelbagai khidmat institusi kewangan.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata mangsa disyaki menjadi mangsa phising atau pautan (link) yang mana di dalam pautan berkenaan ada Android Package File (APK) dalam bentuk aplikasi hasad (malware).

"Selain itu, ada juga mangsa yang memberikan nombor butiran kata laluan sekali (OTP) apabila diminta oleh scammer.

"Polis menasihati masyarakat supaya tidak menekan apa-apa pautan yang tidak dipastikan kesahihannya terutamanya yang mempunyai APK yang tidak sah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata polis menerima 13 laporan di daerah Kuala Terengganu; Besut (5); Dungun (4); Kemaman dan Hulu Terengganu masing-masing satu laporan berkaitan pengurangan wang di dalam akaun.

Menurutnya, mangsa membuat laporan polis selepas menerima Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) daripada institusi kewangan masing-masing bahawa berlaku transaksi ke atas akaun mangsa.

Fail APK berbahaya apabila dimuat turun melalui sumber yang tidak dikenal pasti yang berkemungkinan mempunyai aplikasi hasad atau virus yang boleh menyebabkan kehilangan data dan maklumat penting yang berada di dalam telefon bimbit yang boleh dicuri.

Katanya, orang ramai diingatkan supaya tidak berkongsi butiran terperinci kad ATM, kod pengesahan transaksi (TAC) atau OTP dengan sesiapa walaupun atas pelbagai alasan.

Beliau berkata, statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu bermula 4 Februari 2024 hingga 10 Februari 2024, sebanyak 98 laporan polis diterima berbanding 136 laporan bagi minggu sebelumnya dengan penurunan sebanyak 38 laporan.

Tambahnya, daripada jumlah itu sebanyak 21 kertas siasatan sudah dibuka dengan jumlah kerugian sebanyak RM666,577.

Berita Harian X