Ahad, 11 Februari 2024 | 3:18pm
Bangunan Mahkamah Syariah di Jalan Pasir Mas-Salor, Kota Bharu. - Foto fail NSTP
Bangunan Mahkamah Syariah di Jalan Pasir Mas-Salor, Kota Bharu. - Foto fail NSTP

'Keputusan petisyen Nik Elin 'pintu' pemerkasaan peruntukan syariah'

KUALA LUMPUR: Keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 terbatal dan tidak sah sepatutnya menjadi pencetus kepada usaha memperkasa undang-undang syariah dan Mahkamah Syariah, khususnya di peringkat negeri.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang, berkata sebagai tindakan susulan, satu jawatankuasa khas di peringkat negeri wajar dibentuk bagi meneliti peruntukan syariah sedia ada walaupun telah diwujudkan Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri untuk Menggubal Undang-Undang Islam.

"Kes Nik Elin ini boleh dijadikan pencetus untuk memperkasakan lagi undang-undang syariah dan Mahkamah Syariah di negara ini, khususnya di negeri. Negeri juga seharusnya menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk mengkaji perkara ini dengan memanggil semua pemegang taruh berkaitan dan semua pihak yang terbabit dengan Mahkamah Syariah.

"Kesemua mereka perlu sama-sama berbincang dan menilai langkah ke hadapan bagi pemerkasaan Mahkamah Syariah termasuk melakukan apa-apa pindaan undang-undang di negeri.

"Di peringkat persekutuan, kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Berkaitan Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-Undang Islam, maka kita serahkan kepada jawatankuasa ini untuk mengemukakan cadangan yang berkaitan," katanya kepada BH hari ini.

Kelmarin, Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 seksyen dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

Panel lapan hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan itu selepas membenarkan petisyen dikemukakan seorang peguam, Nik Elin Zurina dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman.

Antara peruntukan kesalahan dalam enakmen itu yang terbatal adalah Seksyen 11 iaitu memusnahkan atau mencemarkan tempat ibadat, kesalahan liwat (Seksyen 14) dan persetubuhan dengan mayat (Sesyen 16).

Mengulas lanjut, Musa berkata, langkah seterusnya yang perlu dilaksanakan adalah meneliti semula kesemua peruntukan dalam enakmen terbabit, termasuk yang telah dibatalkan.

"Perlu untuk DUN melihat semula undang-undang jenayah syariah yang sedia ada termasuk yang sudah dibatalkan. Kemudian, mencadangkan peruntukan kesalahan syariah baharu yang tidak sama dan tidak berlawanan dengan peruntukan dengan undang-undang Persekutuan,"

Musa berkata, perlu difahami bahawa keputusan itu tidak bermakna undang-undang syariah di DUN Kelantan tergugat sepenuhnya.

"20 seksyen yang dicabar ialah sebahagian daripada 68 seksyen yang terdapat dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah Negeri Kelantan 2019.

Mahkamah Persekutuan memutuskan hanya 16 seksyen sahaja sebagai tidak sah.

"Bermakna untuk 48 seksyen lain dalam enakmen terbabit, DUN Kelantan masih mempunyai hak di sisi perlembagaan, ia masih kekal dan tidak diusik.

"DUN Kelantan masih kompeten untuk menggubal undang-undang syariah," katanya.

Berita Harian X