Ahad, 11 Februari 2024 | 12:30pm
Sebahagian daripada rakyat Indonesia hadir untuk mengundi awal sempena Pilihan Raya Umum (PEMILU) dan Pilihan Raya Presiden (PILPRES) 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Sebahagian daripada rakyat Indonesia hadir untuk mengundi awal sempena Pilihan Raya Umum (PEMILU) dan Pilihan Raya Presiden (PILPRES) 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Eizairi Shamsudin

PEMILU 2024: Isu salah guna kertas undi jadi fokus Hermono

KUALA LUMPUR: Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di Malaysia akan memfokuskan isu penyalahgunaan kertas undi oleh pihak tidak berkepentingan ketika proses awal Pilihan Raya Umum (PEMILU) dan Pilihan Raya Presiden (PILPRES) 2024.

Duta Besar, Datuk Hermono, berkata langkah berkenaan penting bagi memastikan insiden kontroversi yang berlaku pada PEMILU 2019 tidak berulang.

Beliau berkata, pihaknya mahu mengurangkan kemungkinan penyalahgunaan kertas undi daripada pihak tidak berkepentingan dalam PEMILU 2024 supaya proses memilih pemimpin baharu berjalan lancar.

"Bagi proses undi awal di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) ini, kita jangkakan sekitar 20 peratus pemilih yang berdaftar di sini akan keluar menunaikan tanggungjawab hari ini," katanya kepada pemberita selepas selesai mengundi, di sini hari ini.

Hari ini, seramai 222,945 pemilih yang layak akan menjalankan tanggungjawab di WTCKL bagi proses undi awal.

Situasi ketika proses undi awal sempena Pilihan Raya Umum (PEMILU) dan Pilihan Raya Presiden (PILPRES) 2024 di Pusat Pengundian, Pusat Dagangan Dunia (WTC) hari ini. - Foto BERNAMA
Situasi ketika proses undi awal sempena Pilihan Raya Umum (PEMILU) dan Pilihan Raya Presiden (PILPRES) 2024 di Pusat Pengundian, Pusat Dagangan Dunia (WTC) hari ini. - Foto BERNAMA

Selain itu, lima lagi lokasi untuk mengundi ialah di Johor Bahru dengan 2,684 pemilih, Pulau Pinang (5,375), Kota Kinabalu (2,811), Tawau (20,247) serta Kuching (2,988).

Indonesia memulakan kempen pemilihan presiden 2024, 28 November lalu yang menyaksikan tiga calon bakal bersaing untuk pemilihan pemimpin pada 14 Februari ini.

Ia membabitkan bekas jeneral tentera, Prabowo Subianto, bekas gabenor Jawa Tengah, Ganjar Pranowo dan bekas gabenor Jakarta, Anies Baswedan.

Penyandang Presiden, Joko Widodo (Jokowi) tidak bertanding semula setelah tempoh perkhidmatan dua penggalnya berakhir.

Mengulas lanjut, Hermono berkata pihaknya yakin proses pengundian di Malaysia akan berjalan lancar berikutan segala persiapan rapi sudah dilakukan sejak awal.

"Semangat yang ditunjukkan pemilih cukup tinggi dan saya lihat petugas juga cukup semangat. Jadi harapan saya semoga segala berjalan lancar dan tertib," katanya.

Hermono sebelum ini dilapor menjangkakan sekitar 30 peratus daripada 832,420 rakyat negara itu yang menetap di Malaysia dan berdaftar sebagai pemilih akan menunaikan tanggungjawab hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya Umum (KPU) menetapkan tempoh bertenang selama tiga hari untuk PEMILU 2024 bagi pemilihan presiden dan anggota legislatif bermula hari ini sehingga 13 Februari sebelum proses pengundian dijadual pada 14 Februari.

Lebih 204 juta rakyat Indonesia akan meraikan pesta demokrasi dalam PEMILU dan PILPRES pada 14 Februari ini.

Berita Harian X