Ahad, 11 Februari 2024 | 9:16am
Situasi proses undi awal sempena Pilihan Raya Umum (PEMILU) 2024 di Pusat Pengundian, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, hari ini. - Foto BERNAMA
Situasi proses undi awal sempena Pilihan Raya Umum (PEMILU) 2024 di Pusat Pengundian, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, hari ini. - Foto BERNAMA

Pilihan Raya Presiden Indonesia: Puluhan ribu warga Indonesia undi awal di WTC hari ini

KUALA LUMPUR: Puluhan ribu rakyat Indonesia dijangka 'berkampung' di Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini untuk menjalankan tanggungjawab mereka dalam Pilihan Raya Presiden Indonesia melalui proses pengundian awal.

Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono berkata hingga kini rakyat Indonesia yang berdaftar bagi melaksanakan tanggungjawab mengundi Ahad ini ialah seramai 223,000.

Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono.
Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono.

Beliau bagaimanapun berkata, pihaknya menjangkakan rakyat Indonesia yang hadir menjalankan tanggungjawab itu nanti adalah kira-kira 45,000 atau mewakili 20 peratus daripada keseluruhan yang berdaftar.

Selain itu katanya, bagi proses undi pos pula, seramai 156,397 rakyat Indonesia diberikan borang pos dan perlu dikirim ke pejabat pos mulai semalam.

"Pengundi yang berdaftar termasuk dari Perak, Kelantan, Terengganu dan Selangor untuk sama-sama melakukan undian awal, Ahad ini.

"Ini adalah kali pertama pengundian awal dijalankan di WTC berbanding tahun sebelumnya ia dilakukan di kedutaan dan sekolah Indonesia," katanya kepada BH, di sini.

Indonesia memulakan kempen pemilihan presiden 2024, 28 November lalu yang menyaksikan tiga calon bakal bersaing untuk pemilihan pemimpin pada 14 Februari ini.

Tiga calon Presiden Indonesia

Situasi semasa proses undi awal sempena Pilihan Raya Umum (PEMILU) 2024 di Pusat Pengundian, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, hari ini. - Foto BERNAMA
Situasi semasa proses undi awal sempena Pilihan Raya Umum (PEMILU) 2024 di Pusat Pengundian, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, hari ini. - Foto BERNAMA

Ia membabitkan bekas jeneral tentera, Prabowo Subianto, bekas gabenor Jawa Tengah, Ganjar Pranowo dan bekas gabenor Jakarta, Anies Baswedan.

Penyandang Presiden, Joko Widodo (Jokowi) tidak bertanding semula setelah tempoh perkhidmatan dua penggalnya berakhir.

Pada masa sama, Hermono berkata, pemilihan WTC dibuat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya proses pengundian dibuat pada satu tempat bagi memudahkan aspek pengawasan.

Beliau berkata, sebanyak empat dewan digunakan untuk proses pengundian itu, dengan keseluruhan 1,561 petugas SPR akan berada di WTC.

"Sebanyak 400 meja pendaftaran disediakan sepanjang hari itu supaya prosesnya lebih cepat dan dapat diselesaikan awal.

"Proses pengundian bermula pada jam 8 pagi hingga akhir pendaftaran pada jam 5 petang," katanya.

Hermono berkata, pihaknya mengharapkan semua pengundi Indonesia di sini, dapat menunaikan tanggungjawab bagi memilih kepimpinan baharu kelak.

Beliau berkata, besar harapannya supaya proses mengundi dapat berjalan dengan lancar tanpa sebarang 'pergeseran'.

Pengundi awal terbesar di Malaysia

"Jadikanlah pemilihan ini sebagai suatu pesta demokrasi dan peranan pengundi di sini yang mewakili jumlah terbesar berbanding negara lain adalah penting," katanya.

Hermono berkata, bagi proses pengundian pos, pihaknya menjangkakan 70 peratus daripada 156,397 kertas undi itu dipulangkan kerana pengundi sudah berpindah ke alamat lain.

Jumlah terbesar pengundi awal luar Indonesia berada di Malaysia. Lebih 223,000 layak mengundi dan 45,000 dijangka turun mengundi di WTC hari ini
Jumlah terbesar pengundi awal luar Indonesia berada di Malaysia. Lebih 223,000 layak mengundi dan 45,000 dijangka turun mengundi di WTC hari ini

Berita Harian X