Ahad, 11 Februari 2024 | 8:49am
Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mencadangkan pindaan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) mengenakan hukuman lebih berat kepada pesalah alam sekitar dengan pihak yang mencemar sumber air didenda sehingga RM15 juta berbanding hanya RM500,000 dan tempoh penjara dinaikkan daripada 10 tahun kepada 15 tahun. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mencadangkan pindaan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) mengenakan hukuman lebih berat kepada pesalah alam sekitar dengan pihak yang mencemar sumber air didenda sehingga RM15 juta berbanding hanya RM500,000 dan tempoh penjara dinaikkan daripada 10 tahun kepada 15 tahun. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Denda RM15 juta hukum pencemar sumber air

CYBERJAYA: Pencemar sumber air dan mereka yang menyebabkan gangguan bekalan bakal berdepan denda sehingga RM15 juta sekiranya cadangan pindaan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) diluluskan Parlimen.

Draf pindaan dikemukakan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) itu menyaksikan kenaikan denda sehingga puluhan kali ganda berbanding RM500,000 yang dikuatkuasakan menerusi Akta 655 sedia ada.

Ketua Pegawai Eksekutif SPAN, Datuk Ahmad Faizal Abdul Rahman, berkata turut dicadangkan hukuman penjara dinaikkan daripada 10 tahun ketika ini kepada 15 tahun.

"Pindaan akta itu yang turut menggariskan mengenai hukuman terhadap pihak yang membuat penyambungan haram atau mencuri air yang dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat Jun depan.

"Setakat ini draf pindaan akta berada peringkat Peguam Negara sebelum dibentang ke Jemaah Menteri.

"Akta ini (pindaan) berupaya memainkan peranan sebagai kawal selia lebih tegas dan penting untuk memberi pengajaran kepada pesalah," katanya kepada BH.

Akta 655 yang dikuatkuasakan pada 1 Januari 2008 memperuntukkan kawal selia meliputi ekonomi, teknikal, sosial serta perlindungan hak pengguna.

Gesaan terhadap pindaan akta itu dilaksanakan sejak 2020 lagi oleh pelbagai pihak, termasuk aktivis alam sekitar dan badan pengguna untuk memastikan pesalah alam sekitar yang mencemarkan sumber air dikenakan hukuman lebih berat.

Berdasarkan Seksyen 121(2)(b) Akta 655 sedia ada, hukuman yang ditetapkan bagi pesalah pencemaran bahan radioaktif atau toksik ialah denda maksimum RM500,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau sebatan atau ketiga-tiganya sekali.

Melalui pindaan baharu yang diusulkan nanti, hukuman denda dicadangkan dinaikkan kepada maksimum RM15 juta, manakala hukuman penjara pula kepada maksimum 15 tahun.

Sementara bagi Seksyen 121(2)(c) berkaitan pencemaran lain, hukuman sedia ada membabitkan denda RM100,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali.

Melalui pindaan akta berkenaan, denda yang dicadangkan daripada RM200,000 hingga RM10 juta atau maksimum 10 tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

"Ini kerana membabitkan kesalahan di mana jika pencemaran itu berlaku ia boleh membahayakan nyawa dan memudaratkan ramai pengguna," kata Ahmad Faizal.

Beliau juga menjelaskan, melalui pindaan akta itu, SPAN turut mencadangkan kesalahan baharu diletakkan di bawah subseksyen 121 (1) (d).

Ia membabitkan klausa di mana individu boleh didakwa kerana menyebabkan pencemaran sehingga membawa kepada penutupan sistem bekalan air atau gangguan bekalan.

"Selain itu melalui pindaan akta terbabit, syarikat operator air boleh menuntut sebarang kos akibat gangguan air yang disebabkan oleh pesalah," katanya.

Insiden cemar sumber air

Sebelum ini, beberapa insiden pencemaran sumber air dikesan, antaranya pada September 2020 apabila 1,292 kawasan di tujuh kawasan di Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air disebabkan pelepasan minyak hitam daripada kilang jentera berat di Rawang yang mengalir ke longkang sebelum terus ke Sungai Gong yang berhampiran premis itu.

Pencemaran itu menjejaskan lebih 1.2 juta pengguna di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Pada Julai 2019, dua insiden pencemaran di muka sauk empat Loji Rawatan Air (LRA) dikesan dalam tempoh tiga hari, membabitkan pencemaran bau yang menyebabkan penutupan LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 serta LRA Rantau Panjang.

Februari 2021, 13 tong berisi bahan buangan berjadual (bahan pelarut) yang tidak diurus dengan baik ditemui di sebuah premis tidak berpenghuni di Taman Seri Reko, Kajang, sekali gus berisiko menyebabkan pencemaran sungai.

Pada Disember 2022 pula, LRA Semenyih dan Bukit Tampoi dihenti tugas sementara susulan pencemaran bau sehingga tahap empat TON (ukuran kadar bau) yang dikesan di muka sauk Jenderam Hilir, Dengkil.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Faizal berkata, dalam memanfaatkan penggunaan air tebus guna, pembangunan loji kumbahan baharu akan dibina berhampiran kawasan industri.

Beliau berkata, dengan cara itu, air dari loji kumbahan boleh digunakan oleh industri tanpa perlu menggunakan air bersih.

"Sebelum ini, ada satu di Shah Alam dan kini sedang dalam peringkat kajian untuk kebolehlaksanaan bagi pembangunan loji kumbahan di kawasan industri di Batu Berendam, Melaka," katanya.

Beliau berkata, sebanyak 60 peratus penggunaan air adalah bagi tujuan industri yang mana ia boleh dijimatkan melalui penggunaan sumber dari loji kumbahan.

Berita Harian X