Ahad, 11 Februari 2024 | 8:05am
Pakar Kardiotorasik Hospital USM, Dr Ahmad Zuhdi Mamat menerangkan kaedah pembedahan penggantian aorta akibat koyakan anurisma aorta torasik akut atau ‘acute dissecting thoracic aneurysm'. - FOTO/ Ihsan Hospital USM
Pakar Kardiotorasik Hospital USM, Dr Ahmad Zuhdi Mamat menerangkan kaedah pembedahan penggantian aorta akibat koyakan anurisma aorta torasik akut atau ‘acute dissecting thoracic aneurysm'. - FOTO/ Ihsan Hospital USM

Hospital USM lakukan pembedahan penggantian aorta pertama di pertama Pantai Timur

KOTA BHARU: Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya melakukan pembedahan penggantian aorta akibat koyakan anurisma aorta torasik akut atau 'acute dissecting thoracic aneurysm' walaupun dengan hanya menggunakan peralatan asas.

Pakar Kardiotorasik Hospital USM, Dr Ahmad Zuhdi Mamat, berkata pada 30 Januari lalu pasukan kardiotorasik Hospital USM melakukan pembedahan berkenaan melalui prosedur Bentall ke atas seorang pesakit berusia 35 tahun.

Sebelum ini, pembedahan biasanya dijalankan di Institut Jantung Negara (IJN) dengan kepakaran dan kelengkapan peralatan yang lebih canggih.

"Bagaimanapun dengan hanya menggunakan peralatan asas dan tidak secanggih IJN, kami mampu melaksanakan pembedahan bagi kes-kes kecemasan sebegini.

"Pembedahan yang dilakukan ini mengambil masa lebih tujuh jam dan ia adalah hasil kerja berpasukan membabitkan doktor-doktor bedah, pakar-pakar bius, juruteknik perfusi, jururawat, dan kakitangan Hospital USM yang lain," katanya.

Dr Ahmad Zuhdi berkata, prosedur Bentall biasanya dilakukan ke atas pesakit yang mengalami pembengkakan atau koyakan aorta disebabkan oleh sindrom Marfan, iaitu penyakit genetik yang menyebabkan dinding aorta menjadi lemah dalam kalangan pesakit muda.

"Pada masa sama, prosedur Bentall juga membawa risiko yang tinggi kerana kebanyakan pesakit terpaksa dibedah dalam keadaan kecemasan dan memerlukan keperluan teknikal tinggi," katanya.

Beliau berkata, bagi kes pesakit yang dibedah ini, prosedur Bentall dilakukan sebagai pembedahan jantung terbuka di mana pesakit diletakkan di bawah bius am dan disambung kepada mesin pintasan jantung dan paru-paru.

"Pakar bedah kemudiannya menghentikan jantung dan aliran darah diambil alih oleh mesin jantung paru-paru tersebut.

"Ketika pembedahan dijalankan, mesin berkenaan mengambil alih sementara fungsi jantung dan paru-paru serta memainkan peranan untuk mengekalkan peredaran darah dan tahap oksigen pesakit.

"Aorta dan injap yang rosak kemudiannya dibuang dan digantikan dengan cantuman buatan komposit aorta dan injap aorta serta arteri koronari ditanam semula di pangkal aorta tiruan berkenaan," katanya.

Dr Ahmad Zuhdi berharap agar pengurusan Hospital USM dapat menyediakan peralatan dan insfrastuktur dewan bedah yang lebih baik seiring dengan perkembangan teknologi terkini untuk merawat kes-kes kompleks dan sebagai Hospital Pengajar Universiti yang menjadi rujukan pesakit kardiovaskular seluruh Pantai Timur.

Berita Harian X