Ahad, 11 Februari 2024 | 12:00am
Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari.
Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari.

'Kalau hukuman Mahkamah Syariah rendah, tingkatkan... bukan cabar' - PAS

KUALA LUMPUR: Hukuman lebih rendah kepada pesalah di Mahkamah Syariah berbanding sivil bukan perkara yang perlu menjadi topik perbincangan di sebalik keputusan Mahkamah Persekutuan membatalkan 16 kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari menegaskan, jika kadar hukuman itu menjadi isunya sekarang, maka hukuman lebih tinggi wajar diperuntukkan kepada Mahkamah Syariah, bukannya perlu dicabar sehingga menyebabkan undang-undang syariah berkenaan menjadi tidak sah.

"Kita bukan nak bincang tinggi rendah hukuman. Kalau nak bincang tinggi rendah hukuman, bagilah kuasa kepada Mahkamah Syariah letakkan hukuman lebih tinggi daripada hukuman tiga tahun penjara, RM5,000 denda dan enam kali sebatan.

"Kalau hukuman Mahkamah Syariah rendah, bagi peluang tinggikan hukuman," katanya ketika berucap pada Ceramah Perdana dan Majlis Perasmian Minggu Al-Quds Sedunia Peringkat Malaysia 2024 yang disiarkan secara langsung di Facebook Dewan Ulama PAS Pusat malam ini.

Semalam, Mahkamah Persekutuan dalam satu keputusan bersejarah mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

Keputusan terhadap petisyen dikemukakan Nik Elin Zurina dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman itu dibacakan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Beliau mengetuai panel sembilan hakim membacakan penghakiman dicapai melalui majoriti 8-1 selepas mahkamah memutuskan dua lagi kesalahan dalam enakmen itu yang disenaraikan dalam petisyen berkenaan adalah sah.

Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, realitinya keputusan Mahkamah Persekutuan kelmarin sudah mengakibatkan keupayaan Mahkamah Syariah ketika ini akan dilihat semakin longgar dan lemah.

Katanya, dakwaan ramai pihak kononnya kesalahan syariah termasuk kes liwat boleh didakwa di Mahkamah Sivil yang memperuntukkan hukuman lebih berat, hakikatnya tidak bersandar realiti sebenar.

"Realitinya tidak begitu. Saya ambil contoh, kes Iki Putra di Selangor.... dia didakwa di Mahkamah Syariah atas kesalahan liwat. Pada 2021, dia fail di Mahkamah Sivil memohon dibatalkan pendakwaannya (di Mahkamah Syariah) kerana mendakwa kesalahan ini boleh didakwa di Mahkamah Sivil.

"Mahkamah benarkan permohonan ini dan dia tak boleh didakwa di Mahkamah Syariah. Sepatutnya jika dia tak boleh didakwa di Mahkamah Syariah, dia patut didakwa di Mahkamah Sivil.

"Tapi tiga tahun sudah berlalu, Iki Putra masih belum didakwa di mana-mana mahkamah sivil. Ini realitinya yang berlaku," katanya.

Ahmad Fadhli berkata, PAS menerima keputusan Mahkamah Persekutuan kelmarin, namun apa yang perlu diberi perhatian seluruh umat Islam adalah kesan pembatalan enakmen itu yang akan turut memberi kesan kepada penguatkuasaan enakmen di negeri lain.

Berita Harian X