Sabtu, 10 Februari 2024 | 7:57pm
EXCO Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Melaka, Ngwe Hee Sem (dua dari kanan) meraikan tetamu rumah terbuka Tahun Baharu Cina di kediamannya di Selandar, Alor Gajah, hari ini. - NSTP/AMIR MAMAT
EXCO Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Melaka, Ngwe Hee Sem (dua dari kanan) meraikan tetamu rumah terbuka Tahun Baharu Cina di kediamannya di Selandar, Alor Gajah, hari ini. - NSTP/AMIR MAMAT

Baucar RM15 tunggu 10,000 pengunjung terawal Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Melaka

ALOR GAJAH: Kerajaan Melaka menyasarkan 15,000 pengunjung dari dalam dan luar negeri ini hadir memeriahkan sambutan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina peringkat negeri yang dijadualkan 22 Februari ini.

EXCO Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem, berkata majlis yang akan diadakan di Jonker Walk, Banda Hilir itu sangat signifikan kepada perayaan besar bagi kaum Cina.

Beliau berkata, pemilihan lokasi berkenaan sudah pasti menarik pengunjung yang ramai memandangkan kawasan itu adalah tempat tumpuan pelancong apabila ke Melaka.

Katanya, sepanjang berlangsungnya sambutan itu antara jam 7 malam hingga 12 tengah malam, kerajaan negeri menyediakan baucar pembelian makanan bernilai RM15 untuk setiap pengunjung.

"Sambutan rumah terbuka kali ini menampilkan kelainan apabila tidak berkonsepkan jamuan makan seperti biasa, sebaliknya pengunjung akan diberi baucar RM15 setiap seorang untuk beli makanan dan minuman, boleh juga untuk pembelian cenderahati.

"Baucar itu khusus untuk 10,000 pengunjung terawal dan mereka boleh menggunakan untuk membuat pembelian di sekitar Jonker Walk," katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Jaya.

Beliau yang ditemui pada majlis rumah terbukanya sempena Tahun Baharu Cina di Selandar, di sini hari ini, berkata penganjuran rumah terbuka itu juga secara tidak langsung dapat membantu peniaga kecil di sekitar Jonker Walk.

Hee Sem yakin sambutan berkenaan akan dikunjungi masyarakat pelbagai kaum dari seluruh negara kerana Melaka kini menjadi lokasi tumpuan bersempena cuti sekolah selain sambutan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Katanya, pelbagai persembahan menarik akan dipersembahkan kepada pengunjung, termasuk tarian naga pada sambutan itu yang akan turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam; Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh serta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing

Berita Harian X