Sabtu, 10 Februari 2024 | 5:10pm
Tarian naga memeriahkan lagi suasana ketika masyarakat Tionghua menyempurnakan upacara keagamaan sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Tokong Kuan Yin di Klang, hari ini. - BERNAMA
Tarian naga memeriahkan lagi suasana ketika masyarakat Tionghua menyempurnakan upacara keagamaan sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Tokong Kuan Yin di Klang, hari ini. - BERNAMA

Tahun Naga disambut meriah

KUALA LUMPUR: Masyarakat Tionghua di seluruh negara hari ini menyambut Tahun Baharu Cina iaitu Tahun Naga, yang dipercayai membawa simbol kekuatan, kehormatan, kejayaan dan keberuntungan.

Kemeriahan sambutan turut dirasai seluruh rakyat pelbagai kaum di negara ini yang tidak melepaskan peluang memanfaatkan cuti hujung minggu panjang dengan pelbagai aktiviti bersama keluarga.

Tinjauan di ibu negara mendapati penganut agama Buddha mula mengunjungi Tokong Thean Hou, di sini, seawal 7 pagi untuk bersembahyang dan memohon hajat sebelum menziarahi ahli keluarga yang lain.

Menurut jurucakap Persatuan Hainan Selangor dan Wilayah Persekutuan, iaitu badan pengurusan tokong berkenaan, kira-kira 50,000 pelawat dijangka hadir ke tokong itu hingga petang ini.

"Bermula malam tadi, kami sudah mengadakan beberapa aktiviti seperti pertunjukan bunga api dihadiri kira-kira 10,000 pelawat terdiri warga tempatan dan asing. Sekitar tokong ini juga dihiasi tanglung merah terang dan naga bagi membangkitkan lagi suasana tahun ini.

"Bersempena dengan Tahun Naga ini, masyarakat Cina percaya ia dapat membawa kemajuan dalam hidup, oleh itu memang ramai akan hadir untuk berdoa dan memohon hajat masing-masing," katanya hari ini.

Di PULAU PINANG, masyarakat Tionghua menyambut perayaan itu dalam suasana meriah dengan mengambil peluang menziarahi dan berkunjung ke rumah terbuka ahli keluarga serta rakan-rakan.

Peniaga, Ben Ooi Chooi Beng, 42, berkata biarpun dia mualaf, ia tidak menghalangnya meraikan Tahun Baharu Cina bersama ahli keluarga dalam suasana penuh meriah, sama seperti sebelum memeluk Islam tujuh tahun lalu.

"Setiap tahun, saya tidak pernah lupa untuk meraikan Tahun Baharu Cina bersama keluarga kerana ia satu perayaan adat menurut masyarakat Tionghua dan bukan keagamaan, malah keluarga saya juga faham.

"Mereka akan tempah makanan daripada katering halal bukan sahaja untuk kami, malah rakan-rakan pelbagai kaum yang turut hadir pada sambutan di rumah keluarga saya. Ini memang tradisi setiap tahun.

"Kami berkawan dengan semua orang tanpa mengira agama serta bangsa," katanya.

Di JOHOR, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi menghadiri Majlis Ramah Tamah di Wisma Tionghua di Taman Sri Tebrau anjuran Persekutuan Tionghua Johor Bahru yang dihadiri kira-kira 300 tetamu mewakili pelbagai kaum.

Majlis dimeriahkan dengan persembahan pukulan gendang dan tarian masyarakat Cina.

Onn Hafiz ketika berucap, menyifatkan Tahun Naga membawa simbol kekuatan, turut melambangkan kekuatan perpaduan rakyat di Johor sekali gus membentuk kemajuan negeri itu.

"Tahun ini pelbagai perancangan telah dirangka oleh kerajaan negeri kerana kita mahu mencapai misi negeri maju menjelang 2030. Saya berharap dalam menjadi sebuah negeri yang maju, semua kaum mesti terlibat dan memainkan peranan bagi membantu kerajaan untuk mencapainya," katanya.

Di MELAKA, sambutan Tahun Baharu Cina meriah dengan kemasukan lebih 40,000 kenderaan sehari ke negeri itu sempena panjang cuti hujung minggu ini.

EXCO Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem, berkata selain menyambut perayaan berkenaan, destinasi pelancongan di negeri itu turut menjadi tumpuan pengunjung, sama ada dari dalam dan luar negara.

Di SELANGOR, ribuan penganut Buddha hadir ke Tokong Kuan Yin di Klang bagi melakukan upacara keagamaan sempena sambutan Tahun Baharu Cina sejak semalam.

Cuaca mendung di TERENGGANU membolehkan penganut Buddha bersembahyang dalam keadaan yang selesa di Tokong Persatuan Nan Ann di Jalan Kemajuan, Kampung Pulau Kambing.

Di KELANTAN, Wat Prachachinaram di Tumpat menjadi tumpuan penduduk Cina Peranakan bersembahyang sempena sambutan perayaan itu.

Di KEDAH, masyarakat Cina sempat mengambil peluang untuk melakukan aktiviti riadah dan bersukan sebelum meraikan Tahun Baharu Cina.

Tan Ming Chia, 38, yang menetap di Kuala Lumpur pulang ke kampungnya di Taman Wira Mergong mengisi masa dengan berbasikal sejauh 20 kilometer (km) di sekitar Alor Setar bersama empat lagi rakannya.

Warga emas, Lim Kok Siew, 67, dari Kampung Berjaya, Alor Setar pula meneruskan rutin hariannya dengan berlari kira-kira 6km di Taman Rimba seawal 6 pagi.

Tinjauan di PUTRAJAYA, PERAK, NEGERI SEMBILAN dan PAHANG, mendapati orang ramai meluangkan masa bersama keluarga berkunjung ke pusat beli-belah dan lokasi tumpuan pelancong serta merakamkan gambar dan video dekorasi Tahun Baharu Cina yang ada. - BERNAMA

Berita Harian X