Sabtu, 10 Februari 2024 | 4:58pm
Foto hiasan.- NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Foto hiasan.- NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

'Kalau ada pertindihan, undang-undang dibuat Parlimen yang terpakai'

KUALA LUMPUR: Keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengisytiharkan 16 daripada 18 seksyen dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 terbatal dan tidak sah memberi kesan domino kepada negeri lain.

Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Majlis Profesor Negara (MPN) Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata ini disebabkan kebanyakan negeri lain membuat undang-undang yang mirip di Kelantan seperti kes mabuk, liwat dan sebagainya.

"Cuma keputusan kes semalam tidak membuat negeri lain yang sama itu automatik terbatal. (Ini) disebabkan perlu ada keputusan mahkamah untuk mengisytiharkan ia terbatal. Maknanya ada kes dibawa ke mahkamah.

"Misalnya di Negeri Sembilan. Seseorang itu ditahan dan dihukum kes liwat oleh Mahkamah Syariah.

"Kalau orang yang dihukum itu mempersoalkan keabsahan undang-undang tersebut, dibawa ke Mahkamah Tinggi, maka barulah Mahkamah Tinggi akan mengikut keputusan Mahkamah Persekutuan," katanya.

Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod - Foto fail NSTP
Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod - Foto fail NSTP

Mahkamah Persekutuan semalam mengisytiharkan 16 daripada 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

Panel sembilan hakim dalam keputusan majoriti 8-1 diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan demikian selepas membenarkan petisyen peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman selaku pempetisyen bagi mencabar 18 peruntukan enakmen itu manakala kerajaan Kelantan selaku responden tunggal.

Dengan keputusan itu, Badan Perundangan Negeri Kelantan tidak lagi mempunyai bidang kuasa menggubal 16 peruntukan undang-undang yang dipertikaikan itu, hanya dua undang-undang Seksyen 13 dan 30 yang dibenarkan.

Mengulas lanjut, Nik Ahmad Kamal berkata, keputusan kes itu juga menyebabkan negeri lain tidak boleh melaksanakan undang-undang dan sekiranya digunakan, ia kemudiannya akan dipersoal di mahkamah.

"Kalau laksanakan, mereka akan dipersoal di mahkamah. Maksudnya kalau undang-undang itu tak sah, maka sabitan atau pertuduhan itu juga tak sah," katanya.

Bagaimanapun katanya, perkara itu tidak perlu dikhuatiri kerana ia tidak bermakna individu yang melakukan kesalahan itu akan bebas kerana negara ini mempunyai undang-undang lain di bawah Kanun Keseksaan.

"Kalau kesalahan itu kesalahan liwat, kıta ada undang-undang di bawah Kanun Keseksaan. Orang yang melakukan liwat itu boleh ditahan di bawah Kanun Keseksaan. Tidak bermakna kesalahan yang mereka lakukan itu akan bebas.

"Sebab ada undang-undang Persekutuan yang boleh digunakan. Boleh tahan, boleh dakwa dan sabitkan," katanya.

Menyentuh mengenai 16 daripada 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 terbatal dan tidak sah, Nik Ahmad Kamal berkata, ia melibatkan pertindihan kuasa antara negeri dan Persekutuan.

"Apa yang berlaku ialah Kerajaan Negeri Kelantan mungkin buat undang-undang yang sepatutnya dibuat oleh Parlimen. Lagipun sudah ada undang-undang jenayah yang ada di peringkat Persekutuan.

"Kalau ada pertindihan, undang-undang yang dibuat oleh Parlimen diutamakan dan terpakai. Apa yang berlaku ialah apabila mahkamah melihat 16 undang-undang yang dibuat Negeri Kelantan itu telah ada di peringkat Persekutuan.

"Oleh sebab itu, undang-undang negeri itu tidak boleh terpakai dan patut terbatal kerana ia adalah bidang kuasa Persekutuan, bukan bidang kuasa negeri," katanya.

Berita Harian X