Sabtu, 10 Februari 2024 | 2:38pm

Kepelbagaian kaum, agama mampu letak semula M'sia sebagai negara hebat serantau

KUALA LUMPUR: Kepelbagaian kaum dan agama di negara ini adalah sumber kekuatan yang perlu dipelihara, malah ia berupaya meletakkan semula Malaysia sebagai negara hebat di rantau ini, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, ia juga seharusnya dilihat sebagai 'tarikan' untuk menarik lebih ramai pelabur, dalam usaha memacu ekonomi negara ke tahap yang lebih baik.

"Untuk 2024, dengan kestabilan politik dan kerajaan yang kuat, kita mesti fokus kepada pembangunan ekonomi, pelaburan dan memperluas keupayaan negara dalam pelbagai bidang.

"Kabinet juga memberi tumpuan untuk memastikan Malaysia menjadi negara yang hebat di rantau ini.

"Kita kaya dengan budaya, malah negara ini memiliki kepelbagaian bahasa, daripada bahasa Melayu, Cina, Tamil dan Inggeris. Inilah tarikan dan kekuatan Malaysia yang boleh menarik minat pelabur. Jadi daripada sekarang, perlu penekanan kepada perkara ini," katanya.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Dan Selangor (KLSCAH), Jalan Kampung Atap. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Dan Selangor (KLSCAH), Jalan Kampung Atap. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina di Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), hari ini.

Yang turut hadir, Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chan Lih Kang; Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh; Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong dan Presiden KLSCAH, Ngan Teng Ye.

Anwar yang juga Menteri Kewangan turut meminta masyarakat tanpa mengira agama dan bangsa, bersatu padu, walaupun masing-masing memperjuangkan kepentingan tertentu.

"Usaha ini mesti disertai orang Melayu, Cina dan semua kaum serta agama. Ini harus diteruskan, walaupun ada beberapa kepentingan khas yang dibawa oleh pimpinan KLSCAH dan juga badan Melayu dan Islam lain.

"Tetapi hubungan kerjasama dalam beberapa isu seperti hak asasi, demokrasi, kebebasan badan kehakiman, termasuk isu menentang rasuah dalam negara ini harus kita teruskan," katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menggaul Yee Sang bersama tetamu jemputan ketika Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Dan Selangor (KLSCAH), Jalan Kampung Atap. Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Menyentuh hubungan kerjasama Malaysia-China, Anwar berkata, China antara negara utama yang melabur di negara ini dengan kerjasama dalam pelbagai bidang lain turut giat dijalankan.

"Hubungan Malaysia-China sudah sampai ke tahap strategik dan membanggakan, malah Presiden Xi Jinping dan PremierLi Qiang dan pimpinannya sentiasa ada hubungan baik untuk kepentingan rakyat negara kita dan bersama.

"Selain kerjasama ekonomi, kita turut kembangkan (kerjasama) pendidikan, kebudayaan antaranya membabitkan universiti dan syarikat besar di China," katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hadir pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Dan Selangor (KLSCAH), Jalan Kampung Atap. Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Berita Harian X