Sabtu, 10 Februari 2024 | 2:22pm
Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Muhamad Hisham Marzuki.
Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Muhamad Hisham Marzuki.

Kerajaan digesa pinda undang-undang elak kelompongan kuasa negeri

KUALA LUMPUR: Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) menggesa cabang legislatif mengambil tindakan segera membuat sebarang pindaan yang wajar dalam undang-undang membabitkan hal ehwal Islam bagi memastikan kuasa negeri dikekal atau ditambah baik.

Presiden, Muhamad Hisham Marzuki, berkata ia penting demi menjaga kemaslahatan umat Islam di negara ini dan mengelakkan kelompongan dalam bidang kuasa sedia ada.

Selain itu, PPMM menggesa tindakan lebih efektif dilakukan melalui Jawatankuasa Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam dalam memberikan syor terbaik kepada kerajaan.

"Ini bagi memastikan tiada pertindihan kuasa negeri, khususnya berkenaan hal ehwal Islam dan memastikan ia dapat diselesaikan," katanya kepada BH, hari ini.

Mengulas penghakiman Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 terbatal dan tidak sah, beliau berkata, ia memberi impak besar kepada kuasa negeri di bawah sultan atau raja.

"Impak itu khususnya dalam cabaran yang dikemukakan, iaitu pentafsiran punca kuasa dalam membuat undang-undang jenayah di Malaysia," katanya.

Semalam, Mahkamah Persekutuan membenarkan petisyen dikemukakan peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman dengan mengisytihar 16 kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 terbatal dan tidak sah.

Panel diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat mencapai penghakiman melalui majoriti 8-1 seleps mahkamah memutuskan dua lagi kesalahan dalam enakmen itu yang disenaraikan dalam petisyen berkenaan adalah sah.

Tengku Maimun berkata, petisyen itu dibenarkan kerana badan perundangan negeri membuat undang-undang yang ia tiada kuasa membuatnya dan tiada kena mengena dengan kedudukan Islam atau mahkamah syariah.

Mengulas lanjut, Muhamad Hisham berkata, gesaan PPMM itu supaya manfaat diperoleh umat Islam dalam mengamalkan ajaran agama dan berharap ia dilaksanakan segera, selain bagi menutup ruang cabaran undang-undang sama pada masa akan datang.

"PPMM percaya pelbagai usaha jitu perlu dilakukan semua pihak berkepentingan dalam memastikan kuasa negeri, khususnya berkenaan hal ehwal Islam dapat dipelihara.

"Kita harap usaha itu dapat dilaksanakan melalui kuasa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan demi mengarusperdanakan syariah," katanya.

Berita Harian X