Sabtu, 10 Februari 2024 | 1:48pm
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor. - NSTP/ARKIB
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor. - NSTP/ARKIB

16 seksyen enakmen syariah Kelantan tak sah, apa kata mufti

GEORGETWOWN: Semalam, Mahkamah Persekutuan, dalam satu keputusan bersejarah, mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

Keputusan terhadap petisyen dikemukakan peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman itu dibacakan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Beliau mengetuai panel sembilan hakim membacakan penghakiman dicapai melalui majoriti 8-1 seleps mahkamah memutuskan dua lagi kesalahan dalam enakmen itu yang disenaraikan dalam petisyen berkenaan adalah sah.

Tengku Maimun berkata, petisyen itu dibenarkan kerana badan perundangan negeri membuat undang-undang yang ia tiada kuasa membuatnya dan tiada kena mengena dengan kedudukan Islam atau mahkamah syariah.

Keputusan berkenaan mengundang pelbagai reaksi, termasuk pihak yang turut mengaitkan penghakiman Mahkamah Persekutuan itu dengan politik.

Bagi Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, semua pihak perlu menerima keputusan berkenaan dan jika tidak berpuas hati, mereka boleh berusaha mencari jalan supaya peruntukan dibatalkan itu menjadi sah di sudut undang-undang.

"Kata bidalan 'di mana ada kemahuan, di situ ada jalan', jadi cubalah mohon bantuan pakar dalam bidang undang-undang bagi menggubal peruntukan Enakmen Syariah Negeri Kelantan yang tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

"Ia juga bertujuan supaya Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak dianggap bertindak melebihi bidang kuasanya," katanya menerusi kenyataan.

Wan Salim berpendapat, pihak yang lebih sesuai memberi pandangan terhadap isu berkenaan ialah golongan yang berkecimpung secara langsung dalam profesion undang-undang.

"Jika ingin tahu pandangan mufti, saya rasa mufi Kelantan adalah orang yang lebih tepat dirujuk dalam isu ini memandangkan ia berkait rapat dengan undang-undang syariah di negeri berkenaan.

"Bidalan Arab ada mengatakan 'penduduk Makkah lebih mengetahui tentang lorong-lorongnya', namun selaku seorang yang bukan ahli dalam bidang undang-undang, ini hanya pandangan peribadi saya," katanya lagi.

Menurut Wan Salim, Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dalam pemerintahannya.

"Sistem berkenaan mengizinkan warganegara menzahirkan pendirian dan kehendak masing-masing menerusi saluran yang aman dan tidak menyalahi undang-undang.

"Ini termasuk mengadakan perhimpunan bagi sesuatu tujuan yang diperjuangkan," katanya berharap itu itu tidak dipolitikkan oleh mana-mana pihak.

"Isu ini tidak perlu dipolitikkan oleh mana-mana pihak, sebaliknya sama-sama memikirkan cara berkesan bagi memartabatkan kedudukan syariat Islam di negara ini," katanya.

Berita Harian X