Sabtu, 10 Februari 2024 | 12:59pm
Ular tedung selar di bawah katil sebuah rumah di Kampung Padang Setol, Pedu. - Foto BOMBA
Ular tedung selar di bawah katil sebuah rumah di Kampung Padang Setol, Pedu. - Foto BOMBA

Wanita nyenyak tidur, bawah katil ada tedung selar 3.5m

PADANG TERAP: Bunyi dengusan ular tedung selar di bawah katil mengejutkan seorang wanita sedang nyenyak tidur di rumah di Kampung Padang Setol, Pedu, awal pagi tadi.

Dia yang ketakutan selepas menyedari kehadiran ular itu jam 2 pagi, kemudian menghubungi suaminya yang ketika itu bekerja di luar sebelum mereka mendapatkan bantuan bomba.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerang, Penolong Penguasa Bomba Mohd Aminudin Mad Khozali, berkata sepasukan anggota dari BBP Kuala Nerang kemudian dihantar ke lokasi.

Katanya, pasukan diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Mohd Asri Shamsudin mendapati seekor tedung selar menyorok di bawah katil dalam sebuah bilik di rumah berkenaan.

"Ular sepanjang 3.5 meter itu pada mulanya agresif ketika cuba ditangkap, namun dengan kemahiran dan pengalaman yang ada, anggota kami berjaya menangkap ular itu menggunakan peralatan khas.

"Ini ular tedung selar terbesar ditangkap di daerah ini tahun ini dan kami percaya lebih banyak ular akan keluar berikutan cuaca panas waktu ini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Aminudin berkata, ular biasanya akan keluar mencari tempat perlindungan dan masuk ke rumah penduduk untuk berlindung terutama di bawah katil, atas alang rumah, bawah kusyen, dalam bilik air dan di tempat sejuk.

Beliau menasihatkan penduduk menjaga keselamatan diri dan kebersihan sekitar rumah, selain tidak memukul atau menangkap ular sesuka hati, terutama jenis berbisa.

"Ia mengundang bahaya kepada mereka terutama ular tedung selar. Sebaiknya hubungi pasukan penyelamat untuk menangkap ular kerana kami mempunyai peralatan khas selain kemahiran," katanya.

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) sebelum ini mengeluarkan ramalan cuaca kering dan panas dengan suhu lebih 35 darjah Celsius melanda negara.

Cuaca yang ekstrem mendorong ular keluar untuk mencari tempat baharu seperti di sekitar kawasan yang redup dan banyak makanan.

Berikutan itu, masyarakat dinasihatkan sentiasa berhati-hati dan berwaspada dengan ancaman ular yang begitu tinggi pada waktu panas.

Berita Harian X