Jumaat, 9 Februari 2024 | 11:18pm
Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan
Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan

Pasukan khas JPJ kendali kes kenderaan berat lebih had muatan

SHAH ALAM: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menubuhkan pasukan khas, khusus bagi mengendalikan kes kenderaan berat melebihi had muatan.

Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan, berkata pasukan itu ditubuhkan sejak enam bulan lalu.

"Sepanjang tempoh itu, sebanyak 60 sitaan dibuat terhadap kenderaan berat yang melebihi 70 peratus daripada jumlah muatan dibenarkan.

"Semua sitaan terbabit sudah didakwa di mahkamah dan dalam proses untuk mendapatkan perintah lucut hak," katanya ketika ditemui.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika mengetuai Op Tahun Baharu Cina 2024 di Plaza Tol Kemuning, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan dan Timbalan Pengarah JPJ Selangor, Datuk Ahmad Kamarunzaman Mehat.

Lokman berkata, pasukan berkenaan akan melaksanakan operasi khas kenderaan berat melebihi had muatan fasa dua selepas perayaan Tahun Baharu Cina.

"Pelaksanaan operasi akan diteruskan secara konsisten dalam usaha memastikan semua pihak mematuhi peraturan had muatan dibenarkan.

"Pada masa sama, kita mahu tindakan diambil terhadap pihak yang masih berdegil dan enggan mematuhi peraturan berkenaan," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Plus Malaysia Berhad (PLUS) menyarankan perhatian lebih serius dan langkah lebih drastik perlu diambil terhadap pemandu serta operator kenderaan berat.

Ia bukan saja pada musim perayaan, malah pada setiap masa memandangkan trend peningkatannya yang semakin membimbangkan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke sebelum ini dilaporkan berkata, kenderaan berat dengan muatan berlebihan menjadi satu masalah besar dan antara penyumbang kemalangan jalan raya.

Susulan itu, katanya, isu muatan berlebihan perlu diatasi dengan tindakan tegas menerusi penguatkuasaan bagi mengelakkan permasalahan berkenaan terus berlanjutan.

Berita Harian X