Jumaat, 9 Februari 2024 | 9:37pm
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. - Foto BH
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. - Foto BH

Ahmad Zahid harap Tahun Naga bawa kebahagiaan

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada masyarakat Tionghua, yang akan menyambut perayaan itu esok, dengan harapan kedatangan Tahun Naga akan mempererat lagi perpaduan di antara kaum di negara ini.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO dalam catatan di laman Facebook, yakin sambutan Tahun Baharu Cina akan membawa kebahagiaan dan mengeratkan lagi hubungan perpaduan serta kekeluargaan sesama rakyat.

"Semoga perayaan tahun baharu ini akan membawa kebahagiaan dan mengeratkan hubungan serta kekeluargaan sesama kita semua meskipun berbeza agama, budaya dan bangsa tapi kita tetap sehati sejiwa," katanya.

Menerusi hantaran itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah juga berkongsi video memaparkan beliau menyampaikan ucapan kepada masyarakat yang menyambut Tahun Baharu Cina dalam bahasa Mandarin, bermaksud: "Gong Xi Fa Cai. Saya orang Melayu, anda semua orang Cina, tapi kita semua orang Malaysia!"

Memasuki tahun baharu kalendar lunar pada 10 Februari 2024, Tahun Naga antara detik yang paling diraikan kerana mengikut ilmu warisan masyarakat Cina kuno, feng syui, tahun ini bakal membawa perubahan yang besar kepada masyarakat.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dalam hantaran di Facebook turut mengucapkan selamat menyambut Tahun Baharu Cina kepada seluruh masyarakat Cina di Malaysia.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berharap sambutan Tahun Naga ini akan membawa kesihatan berpanjangan, kebahagian, rezeki dan kemakmuran kepada semua. – BERNAMA

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof. - Foto BERNAMA
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof. - Foto BERNAMA

Berita Harian X