Jumaat, 9 Februari 2024 | 8:50pm
Foto NSTP
Foto NSTP

Keputusan kes Nik Elin tidak merendahkan martabat Mahkamah Syariah

KUALA LUMPUR: Keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid hari ini hanya menyentuh berkaitan proviso (syarat dalam sesuatu perjanjian) Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan.

Bekas Presiden Badan Peguam Malaysia, Salim Bashir, berkata ia bagaimanapun tidak menggugat kedudukan mahupun bidang kuasa Mahkamah Syariah.

"Keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Nik Elin hanya berpaksikan terjemahan mengikut konteks Perlembagaan Persekutuan semata-mata.

"Ia hanya menyentuh keabsahan penggubalan proviso-proviso Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, mahkamah berpendapat, Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan adalah nyata mengenai kuasa penggubalan di peringkat persekutuan dan negeri.

"Keputusan Mahkamah Persekutuan langsung tidak menyentuh atau merendahkan martabat Mahkamah Syariah dan kuasa negeri untuk menggubal jenayah syariah yang membabitkan perihal agama Islam.

"Selain itu, kesalahan luar daripada senarai Persekutuan jadual 9 Perlembagaan masih utuh," katanya.

Sehubungan itu, katanya, semua pihak disaran menghormati keputusan mahkamah dan tidak bertindak mengikut emosi dengan mengeluarkan pandangan tidak berasas.

"Pihak yang tidak berpuas hati boleh mengusulkan pindaan kepada Perlembagaan di Parlimen dan satu kajian penambahbaikan perlu dilaksanakan berdasarkan keputusan ini," katanya.

Mahkamah Persekutuan hari ini mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, adalah terbatal dan tidak sah.

Panel lapan hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan itu selepas membenarkan petisyen dikemukakan seorang peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman.

Antara peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 yang diisytiharkan Mahkamah Persekutuan sebagai batal dan tidak sah adalah Seksyen 11 iaitu memusnahkan atau mencemarkan tempat ibadat, kesalahan liwat (seksyen 14) dan persetubuhan dengan mayat (seksyen 16).

Berita Harian X