Jumaat, 9 Februari 2024 | 2:46pm
Mohamed Haniff Khatri (tengah) bersama barisan peguam pemerhati ketika sidang media selepas keputusan akhir petisyen mencabar 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 di Mahkamah Putrajaya. - NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
Mohamed Haniff Khatri (tengah) bersama barisan peguam pemerhati ketika sidang media selepas keputusan akhir petisyen mencabar 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 di Mahkamah Putrajaya. - NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

Tak boleh tahan, siasat atau dakwa 16 kesalahan syariah yang dibatalkan mahkamah - Peguam

PUTRAJAYA: Pihak berkuasa negeri Kelantan tidak boleh mengambil tindakan ke atas kesalahan membabitkan 16 seksyen dalam peruntukan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 (Enakmen 2019) yang diputuskan terbatal dan tidak sah oleh Mahkamah Persekutuan hari ini.

Peguam pemerhati, Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), berkata selepas keputusan itu dibuat Mahkamah Persekutuan, semua 16 seksyen berkenaan kini dianggap tiada tindakan susulan.

"Jadi 16 seksyen itu tidak boleh diambil tindakan oleh pihak penguat kuasa. Jika ada apa-apa kesalahan berlaku di Kelantan berkaitan 16 seksyen itu , maka pihak berkuasa Majlis Agama Islam Kelantan tidak boleh menahan, menyiasat mahu pun mengemukakan dakwaan," katanya.

Mahkamah Persekutuan hari ini mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, adalah terbatal dan tidak sah.

Dalam keputusan penghakiman 8-1, panel hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan itu selepas membenarkan petisyen dikemukakan seorang peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman.

Sementara itu, peguam pemerhati Yusfarizal Yussoff yang mewakili Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), berkata 16 peruntukan yang diputuskan terbatal dan tidak sah itu perlu dikeluarkan daripada enakmen berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya akan meneliti penghakiman minoriti yang secara asasnya ia membawa isu yang penting iaitu locus standi (hak di sisi undang-undang) iaitu kapasiti individu untuk memfailkan cabaran terhadap undang-undang .

Katanya, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli dalam penghakiman berbeza, menyatakan undang-undang itu digubal oleh Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu kuasa tertinggi dalam negeri.

"Jadi hakim menyatakan untuk mencabar undang-undang berkenaan sudah pasti ada kriteria tertentu dan tidak boleh sesiapa saja mencabarnya.

"Hakim menyatakan pempetisyen adalah individu yang tidak terkesan… saya pernah katakan sebelum ini bahawa Nik Elin tidak pernah dituduh di mana-mana mahkamah di negeri Kelantan.

"Maka mengikut keputusan minoriti, orang sebegini adalah orang yang tidak boleh mencabar peruntukan berkenaan," katanya.

Mengulas lanjut, Yusfarizal berkata, ada keperluan untuk ahli parlimen dan ahli politik untuk melihat semula undang-undang kerana sejarah undang-undang di negara ini jelas menunjukkan hudud, takzir dan qisas diasimilasi dalam undang-undang pra-merdeka ,

Oleh itu, beliau berkata perlu ada garis panduan jelas apakah kuasa negeri berhubung kesalahan jenayah syariah dan apakah kuasa Persekutuan.

"Ini perlukan iltizam daripada ahli politik dan ahli parlimen sama ada untuk membawa pindaan seperti mana dicadangkan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi melihat kepada pindaan tertentu atau membuat penjelasan mengenai isu ini kepada rakyat," katanya.

Berita Harian X