Jumaat, 9 Februari 2024 | 1:01pm
Peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid hadir di mahkamah bagi mendengar keputusan cabar undang-undang syariah di Mahkamah Putrajaya. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid hadir di mahkamah bagi mendengar keputusan cabar undang-undang syariah di Mahkamah Putrajaya. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah

'Alhamdulillah walaupun dikutuk, dikeji dan dilaknat, demi kebaikan Malaysia' - Nik Elin Zurina

PUTRAJAYA: "Saya buat ini (petisyen) bukan untuk diri saya, saya buat untuk semua dan Alhamdulillah walaupun dikutuk, dikeji dan dilaknat, demi kebaikan Malaysia.

Demikian komen peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid, 62, yang mengemukakan petisyen mencabar 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Ketika ditemui di Istana Kehakiman, di sini hari ini, anak jati Kelantan itu berkata, petisyen yang dikemukakan itu bukan untuk kepentingan peribadi sebaliknya dibuat bagi mempertahankan kedaulatan negara.

Memaklumkan beliau tidak berhasrat membawa petisyen sama ke negeri lain, peguam itu berkata, beliau menjangka Dewan Undangan Negeri (DUN) akan lebih berhati-hati dalam menggubal peruntukan undang-undang selepas ini.

"Insya-Allah, tidak ada (petisyen sama di negeri lain). Saya rasa selepas ini, mereka akan lebih berhati-hati merangka undang-undang," katanya.

Peguam itu juga menegaskan, petisyen dikemukakannya tiada kena mengena dengan doktrin Islam kerana mahkamah sudah memutuskan ia hanya mengenai kompetensi DUN dalam membuat undang-undang.

"Sebagai peguam, kami officers of the court (pegawai mahkamah), saya percaya memang tugas kita sebagai pengamal undang undang untuk menegakkan dan mempertahankan kedaulatan undang-undang," katanya.

Katanya, petisyen bagi mencabar 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Syariah Jenayah (I) 2019 yang dikemukakan itu bukan untuk kepentingan peribadi, sebaliknya dibuat bagi mempertahankan kedaulatan negara.

"Saya buat ini (petisyen) bukan untuk diri saya, saya buat untuk semua. Alhamdulillah walaupun dikutuk, dikeji dan dilaknat, demi kebaikan Malaysia," katanya lagi.

Mengenai reaksi diterimanya daripada rakyat Kelantan berhubung petisyen itu ketika pulang ke kampung, Nik Elin berkata, beliau selaku anak jati negeri terbabit diterima baik dan tiada perkara kurang menyenangkan berlaku.

"Saya balik Kelantan tidak kena kecam pun, semua menyokong saya. Kalau yang kata (ada kecaman), saya rasa itu manipulasi fakta sebab saya tiada masalah," katanya.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan hari ini mengisytiharkan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

Panel sembilan hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam keputusan majoriti 8 -1 memutuskan demikian selepas membenarkan petisyen Nik Elin Zurina dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman, 26, selaku pempetisyen bagi mencabar peruntukan enakmen itu.

Dengan keputusan itu, Badan Perundangan Negeri Kelantan tidak lagi mempunyai bidang kuasa menggubal 16 peruntukan undang-undang yang dipertikaikan itu.

Panel itu turut dianggotai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd. Diah dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli.

Turut menganggotai panel, Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri P Nalini, Datuk Mary Lim Thiam Suan, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abu Bakar Jais.

Berita Harian X