Jumaat, 9 Februari 2024 | 12:57pm

Apa persoalan petisyen syariah Kelantan, ini penjelasan Ketua Hakim Negara...

PUTRAJAYA: Petisyen mencabar kuasa Badan Perundangan Negeri Kelantan menggubal beberapa peruntukan dalam Enakmen Kanun Syariah Jenayah (I) 2019, tiada kena mengena dengan kedudukan Islam atau mahkamah syariah, kata Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Tengku Maimun berkata, isu yang perlu Mahkamah Persekutuan putuskan adalah sama ada Badan Perundangan Negeri Kelantan membuat peruntukan itu mengikut batasan yang ditentukan oleh Perlembagaan Persekutuan atau sebaliknya.

"Dengan kata lain, isu di hadapan kami tidak ada kena mengena dengan kedudukan Islam atau mahkamah syariah di negara ini.

"Sama ada Islam atau mahkamah syariah dipertahankan atau sebaliknya bukan persoalan di dalam petisyen ini," katanya.

Tengku Maimun berkata demikian ketika membacakan penghakiman majoriti 8-1 yang membenarkan petisyen peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman hari ini.

Tengku Maimun berkata jika ada pihak mencabar undang-undang yang dibuat negeri yang dilaksanakan mahkamah syariah atas alasan negeri tiada kuasa membuat undang-undang tertentu, dan jika mahkamah sivil membenarkan cabaran itu, pihak yang mencabar dan mahkamah tidak boleh dikatakan menentang Allah.

Ia adalah kerana undang-undang yang dicabar itu bukan yang ditentukan atau ditetapkan oleh Allah, tetapi oleh Badan Perundangan Negeri.

Katanya, jika isu cabaran undang-undang yang diluluskan oleh Kerajaan Negeri atau Badan Perundangan Negeri dilihat dari sudut ini, tidak timbul soal mahkamah sivil tidak mempertahankan kedudukan agama Islam, atau tidak memperkasakan mahkamah syariah.

"Mahkamah Syariah di Malaysia, setakat hari ini, tidak melaksanakan hukuman hudud atau qisas, hanya takzir. Mahkamah sivil juga melaksanakan hukuman takzir. Tidak ada bezanya mahkamah syariah dan mahkamah sivil kerana kedua-dua sistem itu melaksanakan hukuman takzir.

"Perbezaannya cuma hukuman takzir dilaksanakan mahkamah syariah adalah bersumberkan atau mengikut undang-undang ditetapkan pemerintah di peringkat Negeri dan diluluskan Badan Perundangan Negeri manakala hukuman takzir dilaksanakan mahkamah sivil mengikut undang-undang ditetapkan pemerintah di peringkat Persekutuan yang diluluskan Parlimen.

"Ingin juga dinyatakan bahawa hukuman takzir mahkamah syariah tertakluk kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) yang setakat hari ini, mengehadkan hukuman penjara kepada tempoh tidak melebihi 3 tahun, denda tidak melebihi RM5,000 dan sebat tidak melebihi enam kali," katanya.

Tengku Maimun berkata oleh itu melihat kepada cabaran ini sahaja, mahkamah syariah atau undang-undang Islam di Malaysia tidak akan pada bila-bila masa berkubur dan diletakkan batu nisan seperti didakwa oleh peguam Yusfarizal Yusof (peguam pemerhati yang mewakili Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu).

Beliau berkata, ia adalah kerana Perlembagaan Persekutuan menjamin kuasa perundangan kepada semua Kerajaan Negeri untuk menggubal undang-undang yang dilaksanakan oleh Mahkamah Syariah.

"Ditegaskan sekali lagi bahawa apa yang dicabar dalam petisyen ini bukanlah kedudukan undang-undang syariah di Malaysia.

Dakwaan pempetisyen adalah khusus terhadap tindakan Badan Perundangan Negeri Kelantan yang mengikut hujahan pempetisyen, melangkaui kuasa berkenaan jenis kesalahan yang boleh diluluskan oleh Kerajaan Negeri, dalam ruang lingkup yang ditetapkan Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Menurut Tengku Maimun, mahkamah ingin menjelaskan bahawa terdapat tiga jenis hukuman di bawah undang-undang Islam, iaitu hudud, qisas dan takzir di mana hudud adalah hukuman yang ditentukan dan ditetapkan oleh Allah.

Beliau berkata, hukuman qisas adalah hukuman yang dikenakan hukuman balas seperti nyawa dibalas dengan nyawa dan melukakan dibalas dengan melukakan dan ia juga ditentukan oleh Allah.

Menurut Tengku Maimun, perbezaan antara hudud dan qisas ialah hukuman qisas hendaklah dituntut oleh mangsa atau keluarga mangsa di mana diyat iaitu pampasan atau ganti rugi adalah sebahagian daripada hukuman qisas.

Katanya, takzir pula adalah hukuman yang tidak ditentukan oleh Allah tetapi kadar dan bentuk hukuman ditentukan oleh kerajaan atau pemerintah dan akan dijatuhkan kepada penjenayah mengikut budi bicara hakim.

Berita Harian X