Jumaat, 9 Februari 2024 | 12:17pm
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar. - Foto BERNAMA
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar. - Foto BERNAMA

Keputusan kes Nik Elin tidak jejas kedudukan mahkamah syariah - Mohd Na'im

KUALA LUMPUR: Semua pihak berkepentingan dan yang terbabit dengan Mahkamah Syariah akan segera dipanggil bagi membincang serta menilai langkah pemerkasaan mahkamah itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar turut memberi jaminan sekiranya terdapat keperluan pindaan atau reformasi undang-undang berkaitan Mahkamah Syariah, ia akan segera dilakukan.

Bekas Ketua Hakim Syarie itu, yang meminta semua pihak bertenang dan tidak melakukan sebarang provokasi, berkata keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid hari ini tidak menjejaskan kedudukan Mahkamah Syariah di Malaysia.

"Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memberi jaminan kepada umat Islam bahawa Mahkamah Syariah akan kekal dan terus terjamin kewujudannya selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 8-1 hari ini memutuskan bahawa 16 peruntukan kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 adalah batal dan tidak sah.

Keputusan bersejarah itu disampaikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel sembilan anggota selepas membenarkan permohonan Nik Elin dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Abdul Rahman bagi mencabar isu perlembagaan untuk membatalkan 18 peruntukan kesalahan di bawah enakmen tersebut.

Mohd Na'im berkata, sebagai tindakan segera juga, beliau sudah mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) untuk mendapatkan alasan penghakiman bertulis kes itu bagi tujuan kajian serta perancangan selanjutnya.

"Justeru, selaras dengan kajian atas alasan penghakiman kes ini yang akan segera dijalankan, perancangan lanjut akan dibuat segera bagi memastikan agenda penambahbaikan dan pemerkasaan Mahkamah Syariah akan terus berjalan di Malaysia.

"Beberapa penyesuaian terhadap pelan dan rancangan sedia ada juga akan dilaksanakan selaras dengan keputusan kes ini," katanya.

Beliau berkata, segala ruang dan peluang yang wujud untuk pemerkasaan Mahkamah Syariah akan dilaksana.

Mohd Na'im berkata, Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri untuk Menggubal Undang-Undang Islam akan mengkaji isu berkaitan dan bidang kuasa Mahkamah Syariah sebagaimana yang diperuntuk di bawah butiran 1, Senarai II-Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

"Hasil kajian, pandangan dan syor yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Khas ini akan dibentangkan dalam Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia serta Majlis Raja-Raja," katanya.

Beliau juga akan segera memohon perkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Shah serta Sultan Selangor selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Raja-Raja Melayu untuk menyembah maklum keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes itu hari ini. – BERNAMA

Berita Harian X