Jumaat, 9 Februari 2024 | 12:16pm
Pemimpin politik pembangkang dari Bangladesh, MA Quayum.
Pemimpin politik pembangkang dari Bangladesh, MA Quayum.

Pembebasan sementara Quayum tindakan membanggakan - SUARAM

KUALA LUMPUR: Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) memuji tindakan pihak berkuasa yang memberikan pembebasan sementara kepada pemimpin politik pembangkang dari Bangladesh, MA Quayum.

Pengarah Eksekutif SUARAM, Sevan Doraisamy, berkata, Quayum diberikan pas pembebasan itu pagi semalam, sementara menunggu keputusan kes mahkamah yang dihadapinya.

Beliau berkata, tindakan itu membuktikan usaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mengiktiraf Quayum sebagai pelarian yang berdaftar dengan UNHCR, selian berpegang teguh kepada komitmen untuk mematuhi perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi penangguhan pengusiran beliau.

Sevan berharap berharap kerajaan akan terus mengekalkan komitmen itu untuk menghormati kedaulatan undang-undang dan melindungi integriti sistem kehakiman di negara ini.

"Ia termasuk secara aktif menahan diri daripada menimbulkan gangguan, ugutan dan sebarang penangkapan atau penahanan sewenang-wenangnya terhadap Quayum.

"Kami juga berharap kerajaan akan terus menghormati dan melaksanakan prinsip tiada penghantaran pulang paksa (non-refoulement) seperti dilihat baru-baru ini dan Quayum tidak dihantar pulang ke negara asalnya di mana nyawa beliau berada dalam ancaman," katanya melalui kenyataan hari ini.

Quayum, seorang pemimpin Parti Nasionalis Bangladesh ditahan dalam operasi bersama membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi Perisikan Keselamatan Negara (NSI) Bangladesh di kediamannya di Ampang, Selangor pada pada 12 Januari lalu.

Dia ditahan polis selama enam hari dari 12 hingga 17 Januari lalu dan seterusnya oleh Jabatan Imigresen dari 18 Januari hinggalah tempoh beliau dibebaskan semalam.

Pada 18 Januari lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan penangguhan penghantaran pulang Quayum ke Bangladesh.

Dalam pada itu, Sevan berkata SUARAM juga amat menghargai usaha gigih peguam Quayum bagi memastikan keselamatannya di Malaysia.

Katanya, tanpa beliau, usaha yang sangat memberangsangkan itu tidak mungkin akan tercapai.

Berita Harian X