Jumaat, 9 Februari 2024 | 12:09pm
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad menyampaikan amanat pada majlis perjumpaan dengan kakitangan KEMAS Perak di Ipoh.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad menyampaikan amanat pada majlis perjumpaan dengan kakitangan KEMAS Perak di Ipoh.

'Siapa orang politik, siapa bukan orang politik? - MB Perak

IPOH: Kerajaan Perak tidak berhasrat menetapkan kouta untuk lantikan ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata tiada kewajaran menetapkan kuota lantikan sama rata bagi ahli politik dan profesional.

"Siapa dimaksudkan sebagai ahli politik atau bukan," katanya sambil menambah, ramai ahli parti politik boleh juga dikategorikan bekerja atau bergelar profesional.

Beliau menjelaskan demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis amanat dan perjumpaan kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Perak yang turut dihadiri Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi, di sini kelmarin.

Dalam konteks ahli majlis PBT, Saarani bertanya sama ada semua yang menjadi ahli parti politik ditafsirkan sebagai orang politik.

"Kalau begitu bilangan mereka sangat ramai sebab UMNO sahaja pun ada tiga juta ahli. Adakah ahli politik itu orang berjawatan seperti menteri besar, EXCO atau wakil rakyat, tiada satu tafsiran yang jelas.

"Sangat subjektif tafsiran siapa orang politik atau bukan orang politik, sangat-sangat subjektif. Agak sukar untuk nak asingkan, tafsir siapakah orang politik. Justeru, setakat ini di Perak, kita tidak ada kuota itu.

"Pada saya, tak ada hajatlah untuk kita nak buat pemisahan itu atau menetapkan kuota sebab agak sukar untuk tentukan ia dapat dipatuhi," katanya.

Dalam perkembangan lain, Saarani berkata, Program Pra-Tahfiz KEMAS yang melibatkan 410 Tabika KEMAS di seluruh Perak, dijangka memberi manfaat kepada 8,251 hufaz cilik menjelang 2026.

Beliau berkata, program yang bermula awal bulan lalu, dilihat mampu memberi nilai tambah, sekali gus memperkasa penghayatan Islam dan ilmu al-Quran kepada kanak-kanak seawal usia empat tahun.

"Apa pun saya amat mengharapkan ia bukanlah sekadar gah pada angkanya sahaja, tetapi lebih menakjubkan apabila kita mampu merealisasikannya," katanya.

Pada 9 November lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah akan melaksanakan Program Tabika Pra-Tahfiz di 10,843 Tabika KEMAS bagi memperkasa pendidikan al-Quran kepada kanak-kanak.

Bagi tujuan itu, kurikulum sedia ada akan diperkukuh dan digabung jalin dengan ilmu akidah, ibadah, solat dan keagamaan kepada kanak-kanak berusia antara 4 hingga 6 tahun yang belajar di tabika terbabit.

Berita Harian X