Jumaat, 9 Februari 2024 | 11:23am

Perancangan perkasa undang-undang, Mahkamah Syariah segera dilakukan

KUALA LUMPUR: Kedudukan Mahkamah Syariah di Malaysia kekal utuh dengan jaminan yang dinyatakan jelas di dalam Perlembagaan walaupun Mahkamah Persekutuan hari ini yang memutuskan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, adalah terbatal dan tidak sah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, berkata berikutan keputusan itu, ada beberapa penyesuaian terhadap pelan dan rancangan sedia ada berkaitan undang-undang Syariah akan dilaksanakan selaras dengannya.

"Segala ruang dan peluang yang wujud untuk pemerkasaan Mahkamah Syariah akan dilaksanakan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Na'im berkata beliau telah mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) segera mendapatkan alasan penghakiman bertulis bagi kes berkenaan untuk tujuan kajian dan perancangan selanjutnya.

"Selaras dengan kajian atas alasan penghakiman kes ini yang akan segera dijalankan, perancangan-perancangan lanjut akan dibuat segera bagi memastikan agenda penambahbaikan dan pemerkasaan Mahkamah Syariah akan terus berjalan di Malaysia," katanya.

Beliau berkata akan segera memohon perkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk menyembah maklum berkaitan keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini.

"Saya juga akan segera memohon menghadap Sultan Selangor selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan Raja-Raja Melayu untuk menyembah maklum perkara yang berkaitan," katanya.

Selain itu, katanya, pihaknya akan segera memanggil semua pemegang taruh berkaitan, semua pihak yang terbabit dengan Mahkamah Syariah untuk berbincang dan menilai langkah pemerkasaan seterusnya bagi Mahkamah Syariah.

"Jika terdapat keperluan melakukan apa-apa pindaan atau reformasi undang-undang, kita akan segera melakukannya.

Menurutnya, Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri untuk Menggubal Undang-Undang Islam yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi akan mengkaji isu-isu yang berkaitan dengan kompetensi Dewan Undangan Negeri serta bidang kuasa Mahkamah Syariah sebagaimana yang diperuntukkan di bawah butiran 1, Senarai II-Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

"Hasil kajian, pandangan dan syor yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Khas ini akan dibentangkan dalam Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan Majlis Raja-Raja," katanya.

Pada masa sama, katanya, semua pihak perlu bertenang serta tidak melakukan apa-apa provokasi yang boleh mengundang kepada keresahan awam berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini.

Pada 22 Mei 2022, peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman memohon Mahkamah Persekutuan membatalkan 18 kesalahan syariah dalam enakmen diputuskan Dewan Undangan Negeri Kelantan itu atas alasan DUN bertindak melangkaui bidang kuasa.

Mereka juga memohon mahkamah mengisytiharkan DUN Kelantan tidak mempunyai kuasa membuat enakmen berkaitan kesalahan jenayah syariah yang terpakai kepada orang Islam saja.

Berita Harian X