Jumaat, 9 Februari 2024 | 10:46am
Ibu tunggal, Loh Siew Hong (kiri) bersama peguam J Gunamalar keluar dari kamar Mahkamah Tinggi pada 11 Oktober 2023 berkaitan permohonan MAIPs mahu menjalankan tanggungjawab termasuk memberi pendidikan asas Islam kepada tiga anak mualaf. - Foto fail NSTP
Ibu tunggal, Loh Siew Hong (kiri) bersama peguam J Gunamalar keluar dari kamar Mahkamah Tinggi pada 11 Oktober 2023 berkaitan permohonan MAIPs mahu menjalankan tanggungjawab termasuk memberi pendidikan asas Islam kepada tiga anak mualaf. - Foto fail NSTP

MAIPs mohon Mahkamah Persekutuan rayu kes pengislaman anak Siew Hong

KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memohon kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang membatalkan pengislaman tiga anak ibu tunggal, Loh Siew Hong.

Ia susulan Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengekalkan status quo agama Islam tiga anak itu yang ditukar secara sebelah pihak oleh bekas suami Siew Hong, Muhammad Nagashwaran Muniandy.

Permohonan MAIPs itu yang menamakan Siew Hong sebagai responden difailkan menerusi notis usul oleh Tetuan Chambers Zainul Rijal, semalam.

Menurut notis usul itu, permohonan dibuat selaras Seksyen 96(a), 96(b), 97 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 dan bidang kuasa sedia ada Mahkamah Persekutuan.

"Jika kebenaran diberikan, pemohon (MAIPs) diberi masa 14 hari daripada tarikh perintah memberi kebenaran merayu untuk memfailkan dan menyerahkan notis rayuan.

"Pemohon diberi masa lapan minggu daripada tarikh pemfailan notis rayuan untuk memfailkan dan menyerahkan rekod rayuan.

"Kos permohonan mengikut klausa rayuan substantif serta perintah lanjut dan lain yang dianggap sesuai serta wajar diberikan oleh Mahkamah Persekutuan," katanya.

Pada 10 Januari lalu, panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Hadhariah Syed Ismail yang bersidang bersama Datuk Hashim Hamzah dan Datuk Azhahari Kamal Ramli, mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi itu secara sebulat suara selepas membenarkan rayuan Siew Hong.

Hadhariah berkata, Mahkamah Tinggi tidak menyentuh dua isu termasuk sama ada penukaran agama anak ibu tunggal secara unilateral adalah sah ketika prosiding semakan kehakiman.

Kedua, sama ada Seksyen 117(b) Enakmen Perlis atau Enakmen 4 adalah tidak berperlembagaan kerana bercanggah dengan Perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan.

Kegagalan Mahkamah Tinggi menjawab dua isu itu menunjukkannya jelas tersalah arah yang membawa kepada kesilapan dalam undang-undang.

Pada 11 Mei tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, menolak permohonan semakan kehakiman Siew Hong bagi mencabar pengislaman ketiga-tiga anaknya oleh bekas suami yang memeluk Islam.

Wan Ahmad Farid dalam penghakimannya berkata, tiada bukti dikemukakan bahawa agama ketiga-tiga kanak-kanak itu sudah ditukar semula kepada agama Hindu.

Siew Hong tak nafi 3 anaknya masih amal Islam

Katanya, ibu tunggal itu sendiri tidak pernah menafikan tiga anaknya masih mengamalkan ajaran Islam seperti menunaikan solat, walaupun ketika berada dalam jagaannya.

Wanita itu memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 25 Mac 2022 dengan menamakan Pendaftar Mualaf Negeri Perlis, MAIPs; Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan kerajaan Perlis sebagai responden pertama hingga keempat.

Menurut permohonan itu, wanita berkenaan antara lain memohon supaya anak-anaknya iaitu pasangan kembar perempuan berusia 16 tahun dan seorang kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun diisytiharkan sebagai penganut agama Hindu dan akuan memeluk agama Islam semua kanak-kanak itu bertarikh 7 Julai 2020 dibatalkan.

Berita Harian X