Jumaat, 9 Februari 2024 | 9:35am

16 kesalahan syariah dalam enakmen Kelantan batal, tak sah: Mahkamah Persekutuan

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, adalah terbatal dan tidak sah.

Panel lapan hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan itu selepas membenarkan petisyen dikemukakan seorang peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman.

Peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid hadir di mahkamah bagi mendengar keputusan cabar undang-undang syariah di Mahkamah Putrajaya. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid hadir di mahkamah bagi mendengar keputusan cabar undang-undang syariah di Mahkamah Putrajaya. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Tengku Maimun dalam penghakiman panel berkata, mahkamah membenarkan petisyen itu kerana DUN membuat undang-undang yang ia tidak mempunyai kuasa untuk membuatnya.

Bagaimanapun panel memutuskan dua lagi peruntukan kesalahan adalah sah.

Keputusan berkenaan dicapai melalui penghakiman majoriti 8-1 di mana Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli, membuat keputusan berbeza.

Kedua-dua pempetisyen memohon Mahkamah Persekutuan membatalkan 18 kesalahan syariah dalam enakmen Kelantan atas alasan Dewan Undangan Negeri (DUN) terbabit bertindak melangkaui bidang kuasanya.

Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd Diah dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli.

Turut menganggotai panel sama, Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri P Nalini, Datuk Mary Lim Thiam Suan, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abu Bakar Jais.

Nik Elin dan anaknya selaku pempetisyen diwakili peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar manakala Kerajaan Negeri Kelantan dinamakan selaku responden tunggal, diwakili peguam Datuk Kamaruzaman Muhammad Arif.

Berikut adalah senarai enakmen yang batal

16 peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 yang diisytiharkan Mahkamah Persekutuan sebagai batal dan tidak sah

Seksyen 11: Memusnahkan atau mencemarkan tempat ibadat

Seksyen 14: Liwat

Seksyen 16: Persetubuhan dengan mayat

Seksyen 17: Hubungan seksual dengan bukan manusia

Seksyen 31: Gangguan seksual

Seksyen 34: Memiliki dokumen palsu, memberikan keterangan, maklumat atau kenyataan palsu

Seksyen 36: Apa-apa yang memabukkan

Bahagian 39: Mengurangkan skala, ukuran dan berat

Seksyen 40: Melaksanakan transaksi yang bertentangan dengan 'hukum syarak' (undang-undang syariah)

Seksyen 41: Melaksanakan urus niaga melalui riba

Seksyen 42: Penyalahgunaan label dan konotasi halal

Seksyen 43: Menawarkan atau menyediakan perkhidmatan maksiat

Seksyen 44: Tindakan persediaan menawarkan atau menyediakan perkhidmatan maksiat

Seksyen 45: Perbuatan maksiat sebagai persediaan

Seksyen 47: Perbuatan sumbang mahram

Seksyen 48: Muncikari (lelaki berpakaian wanita atau sebaliknya, bertentangan dengan hukum syarak)

Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid (kanan) bersama anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman yang memfailkan petisyen mencabar 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019. - NSTP/FOTO FAIL
Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid (kanan) bersama anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman yang memfailkan petisyen mencabar 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019. - NSTP/FOTO FAIL

Yang diisytiharkan sah

Seksyen 13: Menjual atau memberikan anak kepada bukan Islam atau Muslim yang tercela dari segi moral

Seksyen 30: Perkataan yang boleh memecahkan keamanan

Petisyen dakwa enakmen langkau bidang kuasa DUN Kelantan

Pada 22 Mei 2022, peguam terbabit Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman memohon Mahkamah Persekutuan membatalkan 18 kesalahan syariah dalam enakmen Kelantan atas alasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bertindak melangkaui bidang kuasa.

Mereka juga memohon mahkamah mengisytiharkan DUN Kelantan tidak mempunyai kuasa membuat enakmen berkaitan kesalahan jenayah syariah yang terpakai kepada orang Islam saja.

Petisyen yang penuh kontroversi berkenaan sebelum ini mendapat perhatian banyak pihak terutama bantahan daripada badan bukan kerajaan (NGO) Islam.

Pada awal November tahun lalu, 300 NGO Islam menyerahkan memorandum diterima wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) di Parlimen, yang mendesak pindaan Perlembagaan segera bagi mengelak peruntukan jenayah syariah di negara ini dicabar atau lebih buruk lagi berisiko dibatalkan.

Mereka juga menggesa kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyelesaikan kemelut didakwa tekanan terhadap bidang kuasa DUN dalam menggubal peruntukan berkait dengan kesalahan jenayah syariah bagi orang Islam.

Jadual Kesembilan Perlembagaan kuasa buat undang-undang

Tengku Maimun berkata, melalui Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan menggariskan perkara-yang Parlimen boleh membuat undang-undang dan perkara yang Badan Perundangan Negeri boleh membuat undang-undang.

Kuasa perundangan Persekutuan dan Negeri ditentukan oleh Perlembagaan Persekutuan di dalam Senarai Persekutuan dan Senarai Negeri, dan Parlimen mahu pun Badan Perundangan Negeri tidak boleh membuat undang-undang melangkaui senarai masing-masing.

Prinsip undang-undang adalah mantap

Berhubung 18 peruntukan yang dicabar, Tengku Maimun berkata, prinsip undang-undang adalah mantap bahawa untuk menentukan sama ada undang-undang yang dibuat oleh Parlimen atau Badan Perundangan Negeri adalah sah dan termasuk dalam batasan kuasa perundangan masing-masing, ujian yang terpakai adalah inti pati peruntukan tersebut.

Menurut Tengku Maimun, jika dari segi inti patinya, peruntukan dibuat Badan Perundangan Negeri itu adalah perkara yang termasuk di dalam Senarai Persekutuan, maka Badan Perundangan Negeri tidak mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang berkenaan.

Beliau berkata, ujiannya bukanlah dengan membandingkan peruntukan yang dicabar itu dengan peruntukan sedia ada dalam undang-undang Persekutuan untuk menentukan sama ada terdapat ciri-ciri perbezaan pada kedua-duanya

16 enakmen dibatal kerana hanya Parlimen ada kuasa

Selepas meneliti hujahan, mahkamah memutuskan Seksyen 13 dan Seksyen 30 adalah sah kerana ia berkenaan perkara yang Badan Perundangan Negeri Kelantan mempunyai kuasa untuk membuatnya, manakala seksyen lain yang dicabar adalah tidak sah kerana intipati peruntukan itu berhubung perkara di bawah Senarai Persekutuan yang mana hanya Parlimen mempunyai kuasa untuk membuatnya.

Seksyen 13 adalah berhubung kesalahan menjual atau memberikan anak kepada bukan Islam atau Muslim yang tercela dari segi moral manakala Seksyen 30 membabitkan perkataan yang boleh memecahkan keamanan.

"Intipati seksyen 13 adalah berkenaan penjagaan dan untuk mengawal pengembangan doktrin dan kepercayaan dalam kalangan orang yang menganut agama Islam, yang termasuk di bawah Butiran 1 Senarai Negeri.

"Ia juga berkaitan dengan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa negeri-negeri boleh membuat undang-undang bagi tujuan mengawal atau menyekat pengembangan doktrin atau kepercayaan agama dalam kalangan orang yang menganut agama Islam.

"Demikian juga inti pati seksyen 30 adalah untuk mengawal atau menyekat pengembangan doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganut agama Islam, bukannya untuk semata-mata memecah keamanan.

"Justeru, kami membenarkan permohonan pempetisyen untuk suatu deklarasi bahawa seksyen 11, 14, 16, 17, 31, 34, 36, 37(1)(b), 39, 40, 41, 42, 43, 44, 45, 47 dan 48 Enakmen 2019 adalah batal dan tidak sah atas alasan Badan Perundangan Negeri Kelantan membuat undang-undang berkenaan hal perkara yang ia tidak mempunyai kuasa untuk membuatnya," katanya.

Tengku Maimun berkata, selaras Seksyen 83 Akta Mahkamah Kehakiman 1964, mahkamah tidak membuat sebarang perintah mengenai kos.

 Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman (kanan) bersama ibunya, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid (kiri), ketika sidang media di Himpunan Selamatkan Syariah anjuran Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) di Perkarangan Istana Kehakiman, Putrajaya. - Foto NSTP /AIMAN DANIAL
Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman (kanan) bersama ibunya, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid (kiri), ketika sidang media di Himpunan Selamatkan Syariah anjuran Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) di Perkarangan Istana Kehakiman, Putrajaya. - Foto NSTP /AIMAN DANIAL
Berita Harian X