Khamis, 8 Februari 2024 | 4:50pm
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada masyarakat Cina di negara ini yang bakal menyambut perayaan itu Sabtu ini dengan harapan Tahun Naga membawa simbol kekuatan dan karisma, selain sifat kreativiti dan keyakinan. - FB ANWAR IBRAHIM
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada masyarakat Cina di negara ini yang bakal menyambut perayaan itu Sabtu ini dengan harapan Tahun Naga membawa simbol kekuatan dan karisma, selain sifat kreativiti dan keyakinan. - FB ANWAR IBRAHIM

PM ajak rakyat terus tekad jadi masyarakat unggul, madani, bangkit semangat Tahun Naga

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak rakyat meneruskan tekad untuk menjadi masyarakat yang unggul dan madani.

Dalam ucapan ringkas sempena Tahun Baharu Cina yang akan disambut Sabtu ini, beliau berkata, Tahun Naga, menurut kalendar Cina, membawa maksud kekuatan dan karisma, selain sifat kreativiti dan keyakinan.

"Justeru, bagi membangkitkan semangat prinsip-prinsip universal tersebut, kita sebagai rakyat Malaysia mesti teruskan tekad untuk menjadi masyarakat yang unggul dan madani," katanya dalam hantaran di Facebook.

Anwar berkata, kerajaan akan lebih kuat dan tegap demi memaknai cita Malaysia yang lebih sejahtera dan tinggi darjatnya dengan ekonomi mesti dibangunkan secara saksama, mampan dan berkebajikan, manakala kebejatan atau kerosakan mesti dijauhkan serta perpaduan diperkukuh.

"Selamat Tahun Baharu Cina kepada seluruh masyarakat Cina. Semoga perayaan tahun baharu pada tahun ini membawa kebahagiaan yang melimpah dan rezeki yang bertambah," kata Perdana Menteri.

Dalam video yang turut dimuatnaik dalam laman sama, Anwar mengucapkan: "Xin Nian Kuai Lai dan mudah-mudahan tahun ini tahun bahagia dan tahun tahun berikutnya begitu lebih bahagia. Xin Nian Hao".

Berita Harian X