Rabu, 7 Februari 2024 | 6:18pm
Ketua Pegawai Eksekutif CMCF, Mediha Mahmood.
Ketua Pegawai Eksekutif CMCF, Mediha Mahmood.

CMCF rangka buku panduan pempengaruh

KUALA LUMPUR: Forum Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) dengan kerjasama pelbagai pihak sedang menyediakan buku panduan pempengaruh.

Ini selari seruan golongan berkenaan supaya kod kandungan dipermudahkan dalam panduan tambahan khas bagi pempengaruh.

Ketua Pegawai Eksekutif CMCF, Mediha Mahmood, berkata ia akan menjadi garis panduan ringkas sebagai rujukan bagi pempengaruh mendapatkan penjelasan dan pemahaman terhadap peraturan termaktub dalam kod kandungan.

Katanya, proses Permohonan Ulasan (RFC) pempengaruh bagi memastikan pandangan golongan terbabit menjadi teras penghasilan dokumen komprehensif dan mudah difahami akan dibuat pada separuh suku kedua 2024.

Beliau berkata, CMCF akan terus bekerjasama dengan kerajaan dan pempengaruh ke arah penghasilan kandungan bertanggungjawab dan memupuk persekitaran dalam talian lebih selamat.

"Melalui pembabitan aktif pempengaruh dalam pembikinan buku panduan ini, CMCF berazam menerbitkan sumber rujukan selari keperluan pempengaruh dan memudahkan pematuhan terhadap garis panduan beretika.

"Tunggak falsafah kami ialah keterlibatan pelbagai pihak berkepentingan dalam membuat dasar. Kami percaya mereka yang terkesan dengan dasar ini perlu mempunyai suara dalam pembikinannya.

"Justeru, kami mengalu-alukan pembabitan pempengaruh dan pemegang taruh untuk menyertai CMCF dalam perbincangan dasar dan termaklum dengan amalan terbaik," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Isnin lalu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mengingatkan pempengaruh untuk mengawal secara kendiri dan berhati-hati ketika mengendalikan audio siar atau memuat naik kandungan di media sosial supaya tidak memberi kesan kepada masyarakat.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu dilapor berkata, kerajaan juga akan membuat pemantauan dari semasa ke semasa serta meneliti sebarang tindakan terhadap pihak menghasilkan kandungan kurang membina, jika perlu.

Mediha berkata, kawal selia kendiri adalah tunjang utama CMCF dan selari keadaan semasa di seluruh dunia dengan industri dan komuniti diberi kepercayaan serta diperkasakan untuk mengawal selia amalan masing-masing berdasarkan piawaian ditetapkan.

"Berpandukan kod kandungan sebagai tonggak, kami melaksanakan mekanisme akauntabiliti mantap, membabitkan biro aduan bagi memastikan pemain industri patuh pada dasar dipersetujui dan ditetapkan.

"Kami sedar impak pempengaruh dalam ekosistem pengiklanan dan penciptaan kandungan, selain sangat hargai sumbangan mereka dalam industri yang kian membangun ini," katanya.

Mengenai pengukuhan perlindungan kanak-kanak dalam talian, Mediha menyarankan kerjasama semua pihak bagi pembangunan rangka kerja lengkap dan pelan tindakan kebangsaan, merangkumi tindakan undang-undang, kempen kesedaran dan kerjasama syarikat teknologi.

Selain itu, katanya, CMCF giat menggalakkan literasi digital dan kelakuan berhemat dalam talian, terutama bagi kandungan berkaitan golongan kanak-kanak.

"Bukan itu sahaja, kesedaran dan pemerkasaan ibu bapa juga penting dalam melindungi kanak-kanak daripada kandungan berisiko.

"Bagi mencapai matlamat ini, kami menggalakkan perbincangan bersama kanak-kanak menggunakan nada sesuai dengan usia mereka untuk meningkatkan kesedaran mengenai kandungan berbahaya dan memastikan mereka selamat di alam maya," katanya.

Berita Harian X