Rabu, 7 Februari 2024 | 3:25pm
Empangan Ahning. - Foto NSTP
Empangan Ahning. - Foto NSTP

Paras empangan Kedah cukup tampung keperluan tanaman padi

ALOR SETAR: Jumlah takungan tiga empangan di negeri ini, berada pada paras selesa dan mencukupi iaitu 78.16 peratus dan mencukupi menampung keperluan pengairan untuk aktiviti tanaman padi.

Lembaga Kemajuan Wilayah Muda (MADA) berkata, pihaknya sentiasa bersedia bagi menghadapi fenomena El Nino yang dijangka berlarutan hingga Jun depan.

Katanya, kapasiti takungan Empangan Pedu adalah pada paras 73.17 peratus, Empangan Muda (83.04 peratus) dan Empangan Ahning (94.97 peratus).

"Musim panas dan kering yang melanda Kedah tidak memberi kesan terhadap tanaman padi terutamanya di Kawasan Muda, malah MADA sentiasa berada dalam keadaan siap siaga sekiranya keadaan El-Nino ini berlarutan.

"Prestasi kemajuan tanaman padi musim dua 2023 sehingga hari ini telah mencatatkan aktiviti tanam mencapai 99.3 peratus membabitkan kawasan seluas 100,011 hektar.

"Peringkat berbunga sebanyak 66.8 peratus dengan keluasan 67,211 hektar dan masak sebanyak 21.7 peratus dengan keluasan 21,850 hektar dan sebanyak 5.6 peratus seluas 5,590 hektar padi telah dituai di Kawasan Muda," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, jumlah turunan hujan di Kawasan Muda merekodkan bacaan lebih rendah iaitu 12 milimeter (mm) berbanding purata turunan hujan dalam tempoh 20 tahun iaitu 47mm.

"Bagi menghadapi musim cuaca kering, pihak MADA tetap mengambil langkah berjaga dan melakukan tindakan segera dengan memaksimumkan penggunaan stesen pam guna semula bagi menjimatkan air dari empangan.

"Kita juga menjalankan operasi membekalkan air pengairan secara penggiliran mengikut keperluan aktiviti persawahan di setiap wilayah berdasarkan fasa tanaman sehingga aktiviti musim dua 2023 selesai sepenuhnya," katanya.

Menurutnya, peladang dinasihatkan menguruskan air di peringkat sawah secara berhemah bagi memastikan bekalan air dapat diagihkan dengan sempurna dan mengelakkan pembaziran.

Berita Harian X