Rabu, 7 Februari 2024 | 11:20am
Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal melelong ikan dan sotong dalam Program Jualan Murah Parlimen Bukit Gantang di Changkat Jering. NSTP/SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI
Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal melelong ikan dan sotong dalam Program Jualan Murah Parlimen Bukit Gantang di Changkat Jering. NSTP/SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI

'Tunggu, tengok berapa lagi wakil BERSATU sokong PMX' - Syed Abu Hussin

BUKIT GANTANG: "Kita tunggu 28 Februari ini, mungkin akan ada beberapa orang lagi yang akan sokong PMX," dakwa Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, berhubung pendirian Ahli Parlimen pembangkang yang akan mengumumkan sokongan pada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Sebelum ini, saya umum 8, campur tiga, campur lima dan semuanya 16 orang.

"Jadi kita tunggu dan tengok berapa orang lagi yang akan sokong PMX," katanya dalam sidang media selepas Program Jualan Rahmah di Changkat Jering, hari ini.

Dakwanya, beliau bukanlah 'broker' kepada beberapa lagi Ahli Parlimen pembangkang untuk menyatakan sokongan pada kerajaan seperti yang didakwa sesetengah pihak.

"Saya bukan broker. Saya cakap perkara betul dan saya tak cari pun mereka.

"Apa yang boleh saya maklumkan, pembangkang buat kerja sia-sia, tak mungkin secara logiknya orang nak masuk pembangkang.

"Yang ada sekarang pun tak terjaga," katanya.

Ditanya mengenai tindakan yang akan diambil Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), beliau menegaskan sedia menerimanya, namun akan turut mengambil tindakan sama.

"Jika mereka ambil tindakan undang-undang, saya terima dan akan lawan di mahkamah.

"Tapi tindakan mereka sia-sia sebab dalam Perlembagaan BERSATU tiada sebarang tindakan boleh diambil selagi tidak meninggalkan parti.

"Saya dan rakan-rakan lain tidak tinggalkan parti cuma sokong kerajaan," katanya.

Katanya, beliau tidak mahu menjadi seperti lembu dicucuk hidung kerana sudah setahun pembangkang cuba jatuhkan kerajaan dan sebab itulah beliau menyokong kerajaan untuk kesejahteraan dan kemudahan rakyat di kawasan Bukit Gantang.

Berita Harian X