Selasa, 6 Februari 2024 | 3:20pm
Amirudin (tengah) selepas majlis MoU yang diadakan di Pusat Konvensyen MPAJ hari ini. - NSTP/Saifullizan Tamadi
Amirudin (tengah) selepas majlis MoU yang diadakan di Pusat Konvensyen MPAJ hari ini. - NSTP/Saifullizan Tamadi

Kenapa jadikan isu perkauman bila cadangkan Kampung Baru Cina tapak UNESCO?

KUALA LUMPUR: Usaha untuk mewartakan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia, Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan (UNESCO) tidak perlu dijadikan isu perkauman, kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata, cadangan dibuat Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming itu masih pada peringkat awal dan tidak 'sihat' untuk dimainkan sebagai isu kerana ia tidak memberi sebarang manfaat kepada masyarakat dalam negara berbilang kaum.

"Kita akan tengok, tidaklah semua (kampung) akan diwartakan, jika ada kampung yang berusia ratusan tahun, sudah pasti kita akan mewartakannya seperti kita mewartakan Gombak-Hulu Langat Geopark.

"Sebahagian daripada kawasannya membabitkan kampung Melayu termasuk Kampung Kundang, Kampung Kuang, Selayang, Batu Caves dan Kampung Kemensah.

"Ia digazetkan di bawah UNESCO termasuk dalam geopark kebangsaan yang kemudian akan menjadi geopark antarabangsa dan seterusnya adalah warisan UNESCO.

"Itu sudah dilakukan lama sebelum ini tetapi mungkin tidak dilihat sebagai satu perkara yang bermanfaat kerana dalam fikiran mereka ini, apa saja isu yang boleh di 'spin' akan dibuat untuk politik jangka pendek yang tidak membawa manfaat kepada keharmonian dan kestabilan kaum dalam negara kita," katanya selepas merasmikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Antara Majlis Pembandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan CelcomDigi Berhad (CelcomDigi), di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Datuk Idham Nawawi dan Yang Dipertua MPAJ, Dr Ani Ahmad.

Sebelum ini, sebuah akhbar melaporkan, Kor Ming mencadang untuk mencalonkan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO bagi mengiktiraf kepentingan budaya dan sejarah penempatan itu.

Susulan itu, katanya, Kerajaan Pusat dan Kerajaan Selangor akan membincangkan perkara ini dengan lebih teliti membabitkan kampung yang diteroka sejak tahun 1948 itu.

Berita Harian X