Selasa, 6 Februari 2024 | 10:46am

AGC bantah semakan kehakiman Aman Palestin terhadap tindakan SPRM

KUALA LUMPUR: Pejabat Peguam Negara (AGC) akan memfailkan bantahan terhadap permohonan semakan kehakiman yang difailkan Aman Palestin berhubung pembekuan 11 akaun bank miliknya berjumlah RM11.03 juta oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Perkara itu dimaklumkan Peguam Kanan Persekutuan, Nur Irmawatie Daud, ketika kes ditetapkan untuk sebutan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Amarjeet Singh.

Susulan itu, mahkamah menetapkan 13 dan 20 Februari ini untuk kedua-dua pihak memfailkan hujahan bertulis.

Mahkamah turut menetapkan 27 Februari ini untuk pendengaran permohonan semakan kehakiman.

Terdahulu, peguam Aman Palestin, Muhammad Rafique Rashid Ali, ketika ditemui di luar mahkamah, memberitahu bahawa pihaknya turut memfailkan perakuan segera bagi menyegerakan pendengaran kerana terdapat keperluan mendesak untuk menghantar bantuan ke Palestin.

Muhammad Rafique berkata, pihaknya berjanji menghantar RM10 juta kepada empat organisasi bagi kempen musim sejuk.

Katanya, sebelum akaun berkenaan dibekukan, pihaknya sudah menghantar sebanyak RM3 juta.

Pada 31 Januari lalu, Aman Palestin memfailkan afidavit sokongan bagi menyokong semakan kehakiman, Penyata Selaras menurut Aturan 53 Kaedah-kaedah Mahkamah 2012 dan Perakuan Segera.

Dalam permohonan itu, Aman Palestin memohon perintah certiorari untuk membatalkan keputusan responden pertama hingga responden keenam berhubung perintah pembekuan bertarikh 24 Nov 2023 menurut Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 ke atas 11 akaun bank milik pemohon selain memohon membatalkan pembekuan salah tersebut.

Turut dipohon perintah mandamus supaya SPRM mengubah perintah pembekuan salah supaya wang berjumlah RM11,026,215.60 dinyahbekukan dengan serta-merta bagi tujuan perbelanjaan harian, penggajian pekerja-pekerja, pentadbiran, operasi dan misi-misi bantuan pemohon bagi tempoh tiga bulan ke hadapan selain memohon deklarasi bahawa pemohon berhak untuk terus mengumpul dana daripada orang awam dan seterusnya menyalurkannya secara terus kepada mangsa-mangsa perang di Gaza.

Permohonan itu difailkan antaranya atas alasan jumlah wang sumbangan yang ada di dalam akaun pemohon (sebelum perintah pembekuan salah) tidak dapat disalur kepada mangsa-mangsa serangan rejim Israel di Gaza, sedangkan mereka memerlukan bantuan dari pemohon dengan segera.

SPRM dalam satu kenyataan pada November tahun lalu berkata, pihaknya membekukan 41 akaun Aman Palestin dan beberapa entiti syarikat lain yang berkaitan membabitkan jumlah keseluruhan RM15,868,762.

Ia berhubung siasatan agensi penguatkuasaan itu terhadap dakwaan syarikat pertubuhan amal berkenaan menyalahgunakan wang sumbangan orang ramai sejak 17 Oktober tahun lalu.

Menurut SPRM, pihaknya juga merakam beberapa keterangan saksi penting, dan hasil siasatan awal mengenal pasti beberapa isu disyaki membabitkan penyelewengan dana dianggarkan berjumlah RM70 juta yang disalurkan bagi tujuan selain daripada objektif penubuhan syarikat berkenaan.

SPRM dilaporkan berkata, pihaknya sudah membuat penggeledahan di premis Aman Palestin dan memperoleh dokumen berkaitan kewangan serta pengurusan operasi bagi tempoh lima tahun terdahulu.

Siasatan dijalankan bagi mendapatkan keterangan berhubung kesalahan mengikut Akta SPRM 2009; Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001); serta Kanun Keseksaan (Akta 574).

Berita Harian X