Isnin, 5 Februari 2024 | 6:35pm
Jasmine Loo
Jasmine Loo

Pendakwaan kes 1MDB Najib panggil Jasmine Loo

KUALA LUMPUR: Pendakwaan akan mengeluarkan sepina ke atas bekas peguam 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Jasmine Loo Ai Swan untuk memberikan keterangan sebagai saksi dalam kes penyelewengan dana RM2.3 bilion milik syarikat pelaburan strategik itu.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, pihaknya akan mengeluarkan sepina terhadap Jasmine pada 13 Februari ini.

Ia susulan arahan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah supaya pendakwaan menyediakan seorang saksi dalam keadaan bersedia sekiranya saksi lain yang sepatutnya memberikan keterangan tidak dapat hadir ke mahkamah.

Difahamkan, Jasmine yang pernah melarikan diri ke luar negara dan kemudian menyerah diri kepada pihak berkuasa pada 7 Julai tahun lalu, adalah saksi terakhir pendakwaan dalam kes penyelewengan dana RM2.3 bilion milik 1MDB yang dihadapi Datuk Seri Najib Razak.

Pada Disember tahun lalu, Ahmad Akram memaklumkan mahkamah, pendakwaan bercadang memanggil Jasmine susulan kenyataan saksi pendakwaan ke-48, iaitu Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), Asisten Komisioner Foo Wei Min.

Katanya, kenyataan Wei Min itu membuka 'jurang' dalam kes menggunakan kedudukan dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB yang dihadapi bekas perdana menteri itu.

Pada prosiding sebelum ini, Wei Min bersetuju dengan cadangan peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bahawa Jasmine akan menjadi saksi penting yang boleh mendedahkan isu berkaitan Tanore Finance Corporation, iaitu entiti yang didakwa memindahkan AS$681 juta ke dalam akaun bank Najib.

Sementara itu, Sequerah melapangkan tarikh prosiding perbicaraan hari ini dan esok selepas mahkamah diberitahu bahawa saksi ke-49 pendakwaan iaitu Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nur Aida Arifin bercuti sakit.

Doktor yang memberikan cuti sakit kepada Nur Aida, Dr K Shanmuganathan yang dipanggil memberikan penjelasan, mengesahkan saksi itu tidak boleh memberikan keterangan hari ini dan esok kerana mengalami demam, selsema dan batuk yang boleh berjangkit.

Najib, 70 menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan bersambung 7 Februari ini.

Berita Harian X