Isnin, 5 Februari 2024 | 4:57pm
Mohamad dibawa melawat ke ruruai pameran Peladang pada Lawatan ke Projek Penanaman Padi di Kampung Sawah Ring, Tangkak hari ini. Foto Bernama
Mohamad dibawa melawat ke ruruai pameran Peladang pada Lawatan ke Projek Penanaman Padi di Kampung Sawah Ring, Tangkak hari ini. Foto Bernama

Tanaman padi ala Sekinchan diperluas ke Johor

TANGKAK: Program Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) Ala Sekinchan akan diperluaskan secara berperingkat ke kawasan penanaman padi di Johor, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Susulan itu, beliau berkata, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dengan kerjasama Kerajaan Johor sedang mengenal pasti kawasan sesuai seluas kira-kira 50 hektar bagi pelaksanaan program SMART SBB Ala Sekinchan itu.

Katanya, SMART SBB Ala Sekinchan adalah amalan pertanian berhasil tinggi yang akan meningkatkan hasil pengeluaran padi daripada tujuh tan bagi setiap hektar kepada 10 tan sehektar.

"Tanaman padi ala Sekinchan ini mestilah tanaman yang mengikuti masa yang betul, baja yang sesuai dan pengairan yang sesuai.

"Kalau tidak ada pengairan yang cukup, maka dia tidak boleh untuk kita buat ala Sekinchan dengan sempurna dan dari segi penjagaan mestilah pesawah padi tidak boleh melakukan kerja sambilan.

"Mereka kena jadikan pesawah sebagai kerja tetap seperti profesional," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan di Sawah Ring di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Datuk Zahari Sarip.

Mengikut rekod, Johor kini memiliki 10 sawah padi seluas 2,254 hektar merangkumi di Tangkak (842.97 hektar), Muar (364.22 hektar), Mersing (549.38 hektar), Batu Pahat (141.70 hektar) dan Kluang (356.12 hektar) membabitkan 859 pesawah.

Selain itu, hasil padi Johor mencatatkan peningkatan 30.1 peratus pada musim menuai utama bagi tempoh 2021 hingga 2022 berbanding tempoh pengeluaran 2020 hingga 2021 iaitu peningkatan hasil padi daripada 4,746 tan kepada 6,225 tan.

Sementara itu, Mohamad berkata, kementeriannya akan menyalurkan peruntukan RM3.45 juta bagi memperkasakan projek penanaman padi di Sawah Ring, Tangkak, bagi menyelenggara dan penambahbaikan sawah termasuk jalan di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, peruntukan ini dijangka memberi impak besar kepada penghasilan padi yang lebih berkualiti dan bermutu tinggi serta memberi manfaat kepada pesawah.

Berita Harian X