Isnin, 5 Februari 2024 | 4:34pm
Ahmad Zahid melihat buku diterima daripada Ewon Benedick (kanan) sambil diperhatikan Ramanan pada majlis pelancaran Pelan Strategik Perusahaan Mikro dan Sederhana 2030 & Panduan Pantas ESG Untuk PMKS di Putrajaya. NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
Ahmad Zahid melihat buku diterima daripada Ewon Benedick (kanan) sambil diperhatikan Ramanan pada majlis pelancaran Pelan Strategik Perusahaan Mikro dan Sederhana 2030 & Panduan Pantas ESG Untuk PMKS di Putrajaya. NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

MPUK diwujud bagi selaras pertindihan ekosistem PMKS

PUTRAJAYA: Sekretariat Tetap Majlis Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana Kebangsaan (MPUK) akan diwujudkan bagi menyelaras pertindihan bidang kuasa yang berlaku sebelum ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata sekretariat tetap perlu diwujudkan selepas mendapati berlaku pertindihan fungsi dan peranan dalam koordinasi pembangunan ekosistem usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

Beliau berkata, sekretariat ini sebagai platform utama dalam membincangkan program dan inisiatif pembangunan usahawan serta PMKS selari dengan aspirasi Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030) dan pembangunan Malaysia Madani.

Katanya, semua pihak perlu bersama-sama menggembleng usaha menyokong dan menggalakkan usahawan mengadaptasi teknologi dan digitalisasi supaya terus kekal relevan, kompetitif serta mendapat akses kepada pasaran yang lebih luas.

"Lima kertas pembentangan dibincangkan pada mesyuarat ini iaitu pemerkasaan perusahaan PKS di Malaysia, Hala Tuju Baharu Program Satu Daerah Satu Industri (SDSI), Pelan Strategik Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana 2030, Pelaporan Pelan Tindakan Bersepadu PKS (SMEIPA) dan pelaksanaan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) untuk PMKS," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid hadir mempengerusikan Mesyuarat MPUK di Bangunan Perdana Putra di sini, hari ini.

Pada majlis sama, beliau turut melancarkan buku Pelan Strategik PMKS 2023-2030 (PSPMKS 2030) dan buku Panduan Pantas ESG untuk PMKS.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick dan Timbalannya, Datuk R Ramanan.

Ahmad Zahid berkata, bagi pemerkasaan PKS, mesyuarat mencadangkan enam inisiatif merangkumi empat inisiatif sedia ada yang diperkukuhkan bagi pemerkasaan keupayaan PKS dalam eksport dan industri berimpak tinggi untuk pelaksanaan secara intensif dalam jangka sederhana (2024-2025) serta dua inisiatif baharu bagi pelaksanaan jangka sederhana (2024-2028).

Beliau berkata, mesyuarat juga membincangkan hala tuju baharu program SDSI yang membabitkan beberapa pindaan dasar dan operasi program serta cadangan kerjasama program ini dengan Program Komuniti Madani dan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR).

Katanya, mesyuarat turut mengambil maklum mengenai pembangunan PSPMKS 2030 oleh KUSKOP sebagai hala tuju baharu PMKS dalam pembangunan ekonomi Malaysia.

"Dalam mesyuarat ini turut dimaklumkan berhubung pelaporan program keusahawanan dan pembangunan PMKS melalui SMEIPA yang disediakan SME Corp dan rangka kerja kelestarian PMKS dan Panduan Pantas ESG untuk PMKS sebagai rujukan asas pelaksanaan ESG dalam kalangan PMKS," katanya.

Berita Harian X