Isnin, 5 Februari 2024 | 11:38am

Sasar 10 minit akses ke mana-mana stesen transit di KL menjelang 2040

KUALA LUMPUR: Kerajaan menyasarkan lapan daripada 10 jumlah isi rumah di Kuala Lumpur mempunyai akses dalam lingkungan tempoh 10 minit ke mana-mana stesen transit berdekatan menjelang tahun 2040.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, berkata bagi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam, perkhidmatan pengangkutan sedia ada perlu mencapai kualiti yang diharapkan oleh pengguna.

"Contohnya daripada segi peningkatan tahap frekuensi atau kekerapan yang lebih singkat, di

samping memastikan kemudahan pertukaran mod pengangkutan yang lebih berintegrasi di bawah satu hub yang sama.

"Begitu juga bagi perkhidmatan Bas GOKL, kerajaan terus komited untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan dengan meluaskan laluan sedia ada kepada 15 laluan secara keseluruhannya dengan menambah tahap capaian penduduk kepada perkhidmatan berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Bas Mini GoKL dan Peluncuran Laluan Baharu GOKL Ke-15 di Dewan Perdana Mestika, Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini, hari ini.

Zaliha berkata, laluan perkhidmatan Bas GOKL sedia ada terdiri daripada 14 laluan, di mana empat laluan adalah dalam pusat bandar atau 'last mile', manakala 10 laluan lain adalah di luar pusat bandar atau 'first mile'.

"Laluan-laluan sedia ada ini menghubungkan warga kota daripada hab-hab pengangkutan ke sekitar

pusat bandar seperti Bukit Bintang, KLCC, KL Sentral dan juga kawasan tumpuan lain di luar pusat

bandar seperti Bandar Tun Razak dan Bandar Sri Permaisuri.

"Mulai 1 Februari lalu, perkhidmatan GOKL terus ditambah baik dengan penambahan satu lagi

laluan baharu yang dinamakan laluan GOKL 15.

"Laluan sepanjang 20.6 kilometer (km) itu akan bermula dari Alam Damai ke Hospital Canselor Tuanku Mukriz (HCTM) menghubungkan kawasan kediaman Alam Damai, Taman Desa Cheras, Taman Bukit Anggerik, Bukit Mandarina, Taman Orkid, Taman Mulia dan sekitar Bandar Tun Razak hingga ke HCTM," katanya.

Beliau berkata, laluan GOKL 15 juga akan menghubungkan kawasan yang sering menjadi tumpuan seperti Residensi PR1MA Alam Damai, Flat Taman Desa Cheras, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alam Damai, Sekolah Kebangsaan (SK) Alam Damai, Flat Taman Bukit Anggerik, SMK Orkid Desa, Madrasah Makarimul Akhlak, Residensi Razak Mas, Angkasa Kondominium, Puncak Bayan Kondo, Kuaters Institut Pendidikan Alam Damai serta menghubungkan stesen LRT Bandar Tun Razak.

"Bagi meningkatkan integrasi dan memastikan pengangkutan awam yang lebih sistematik, perkhidmatan GOKL 15 itu juga membabitkan tiga lokasi pertukaran mod pengangkutan iaitu pertukaran ke laluan GOKL 11, laluan 400 RapidKL dan Stesen LRT Bandar Tun Razak.

"Sebagai usaha kerajaan menyokong inisiatif Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), laluan itu juga akan

menggunakan bas elektrik sebagai mod pengangkutan yang lebih mesra alam sekitar dan akan membawa gaya

hidup yang lebih sihat.

"Penggunaan Bas Mini EV bersaiz lapan meter akan digunakan di laluan baharu GOKL 15, di mana pergerakan bas di laluan itu akan lebih lancar dan mudah untuk membuat pusingan terutamanya yang membabitkan kawasan perumahan," katanya.

Beliau berkata, buat sementara waktu laluan terbabit akan beroperasi menggunakan bas elektrik 10 meter terlebih dahulu sebelum digantikan dengan bas mini elektrik yang dijangkakan pada bulan Mei akan datang.

"Dengan penambahan laluan baharu itu, jumlah keseluruhan bas elektrik GOKL adalah sebanyak 80 unit, sekali gus menjadikan DBKL sebagai pihak yang paling banyak mengguna pakai bas elektrik di negara ini.

"Usaha ini sedikit sebanyak seiring dengan hasrat untuk mengurangkan intensiti pelepasan karbon di Kuala Lumpur sehingga 70 peratus menjelang 2030," katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Kamarulzaman Mat Salleh pada majlis pelancaran bas mini EV GOKL dan laluan baharu di Institut Latihan DBKL hari ini. - Foto NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Kamarulzaman Mat Salleh pada majlis pelancaran bas mini EV GOKL dan laluan baharu di Institut Latihan DBKL hari ini. - Foto NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI
Berita Harian X