Ahad, 4 Februari 2024 | 4:48pm
Fahmi pada sesi forum sempena YEF2024, hari ini. - FOTO BERNAMA
Fahmi pada sesi forum sempena YEF2024, hari ini. - FOTO BERNAMA

3 menteri akan bermesyuarat isu keselamatan kanak-kanak dalam talian

KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, akan mengadakan mesyuarat dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, serta Menteri Digital, Gobind Singh Deo, berhubung pelaksanaan jawatankuasa teknikal membabitkan isu keselamatan dalam talian, terutama dalam kalangan kanak-kanak.

Beliau berkata, keselamatan kanak-kanak menjadi keutamaan kerajaan, dengan antara fokus ialah memastikan pematuhan kepada undang-undang sedia ada melalui media sosial.

"Insya-Allah dalam masa terdekat, kita akan membuat penyelarasan dengan beberapa kementerian lain untuk melihat dari segi perundangan yang perlu dipinda atau diwujudkan, serta tindakan-tindakan yang perlu diambil sekarang," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Youth Empowerment Fair 2024 (YEF2024) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Fahmi berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan pihak TikTok selepas perayaan Tahun Baharu Cina ini, dan beberapa pengendali media sosial lain bagi membincangkan isu keselamatan kanak-kanak dalam talian.

Terdahulu ketika menjadi panel pada forum YEF2024, hari ini, Fahmi turut kongsikan pengalaman di kawasan Parlimennya di Lembah Pantai yang mana ramai pelajar sekolah bawah umur didapati memiliki akaun TikTok.

Justeru, beliau menekankan aspek kawal selia diperlukan, antaranya untuk melihat isu pemilikan akaun TikTok dalam kalangan kanak-kanak berusia bawah 13 tahun.

Dalam pada itu, Fahmi juga mengingatkan pempengaruh supaya mengawal secara kendiri dan berhati-hati apabila mengendalikan 'podcast' atau memuat naik kandungan dalam media sosial agar tidak memberikan kesan kepada masyarakat.

Beliau berkata, kerajaan akan melakukan pemantauan dari semasa ke semasa, selain meneliti sebarang tindakan yang perlu diambil.

"Di kawasan saya, Lembah Pantai, saya meminta guru-guru besar serta PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru) untuk menyampaikan kepada ibu bapa dan kanak-kanak sekolah rendah supaya berhati-hati dengan apa yang mereka peroleh daripada media sosial, termasuk 'podcast' dan platform TikTok supaya tidak terpengaruh.

"Insya-Allah, kita akan menyelaraskan beberapa tindakan kerjasama yang boleh diusahakan sekali dengan Kementerian Pendidikan," katanya merujuk kepada isu pempengaruh media sosial didakwa sering membuat kandungan kurang membina. - BERNAMA

Berita Harian X