Ahad, 4 Februari 2024 | 12:47pm

KPM akan bincang isu akaun TikTok kanak-kanak bawah 13 tahun

BAYAN LEPAS: Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengadakan perbincangan bersama Kementerian Komunikasi berhubung isu pemilikan akaun TikTok oleh kanak-kanak berusia bawah 13 tahun.

Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata pihaknya perlu memohon penyelarasan daripada Kementerian Komunikasi sebelum mengeluarkan sebarang garis panduan membabitkan golongan berkenaan.

"Itu kita minta penyelarasan daripada Menteri Komunikasi, (Fahmi Fadzil) memandangkan saya memerlukan maklumat dan pedoman daripada beliau supaya kita juga boleh tengok kesan dan impaknya kepada anak-anak kita.

"Saya pasti ada garis panduan yang perlu dipatuhi bagi memastikan kawalan itu berlaku khususnya daripada ibu bapa," katanya selepas menghadiri majlis apresiasi Tabika KEMAS Daerah Barat Daya dan Timur Laut, di sini, hari ini.

Terdahulu, Fadhlina turut menyampaikan Anugerah Kanak-Kanak Cemerlang Tabika KEMAS Daerah Barat Daya dan Timur Laut kepada 107 penerima dengan seramai 824 kanak-kanak menerima sijil graduasi masing-masing pada majlis tersebut.

Jumaat lalu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dilaporkan berkata, isu pemilikan akaun TikTok oleh kanak-kanak bawah usia 13 tahun antara isu dipertimbang untuk diutarakan kepada pengurusan platform media sosial tersebut.

Beliau berkata, terdapat sedikit kerisauan berhubung pemilikan akaun TikTok oleh golongan terbabit selain garis panduan komuniti media sosial tersebut menyatakan kanak-kanak bawah usia 13 tahun tidak dibenarkan untuk membuka akaun di platform itu.

Fahmi turut memaklumkan beliau akan berbincang dengan Jabatan Peguam Negara jika perlu mengambil tindakan perundangan terhadap pengurusan TikTok berhubung pemilikan akaun oleh kanak-kanak, seperti yang dilakukan di negara luar.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek (dua dari kanan) menyampaikan Anugerah Kanak-Kanak Cemerlang pada Majlis Aspresiasi Tabika Kemas Daerah Barat Daya dan Timur Laut di Bayan Lepas. - Foto DANIAL SAAD
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek (dua dari kanan) menyampaikan Anugerah Kanak-Kanak Cemerlang pada Majlis Aspresiasi Tabika Kemas Daerah Barat Daya dan Timur Laut di Bayan Lepas. - Foto DANIAL SAAD
Berita Harian X