Sabtu, 3 Februari 2024 | 7:55pm
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan. - Foto BERNAMA
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan. - Foto BERNAMA

Golongan muda perlu digalak ceburi sektor tenaga boleh baharu - Amir Hamzah

KUALA LUMPUR: Golongan muda perlu digalakkan menceburi sektor tenaga boleh baharu (TBB) yang dapat membantu usaha kerajaan mempercepat peralihan tenaga negara.

Sehubungan itu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menyarankan golongan berkenaan memanfaatkan peluang daripada inisiatif kerajaan yang turut mendorong peningkatan peluang pekerjaan dalam sektor TBB.

Ini juga sejajar dengan pendirian Malaysia yang komited untuk menurunkan impak jejak karbon dan usaha berkenaan perlu disambut baik oleh syarikat tempatan, katanya.

"Kerajaan memperuntukkan sejumlah RM2 bilion sebagai dana asas untuk Fasiliti Peralihan Tenaga Nasional yang membolehkan syarikat mengambil peluang berganjak kepada TBB.

"Usaha kerajaan itu termasuk memberikan akses pembiayaan melalui sistem perbankan yang mana bank-bank memperkenalkan pembiayaan hijau. Pihak bank (terbabit) juga telah memberi komitmen pembiayaan melebihi RM200 bilion bagi menggalakkan peralihan industri kepada ekonomi rendah karbon," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri sesi forum bertajuk "Accelerating Malaysia's Sustainable Future" sempena program Youth Empowerment Fair 2024 (YEF 2024) di sini, hari ini.

Terdahulu pada forum itu, Amir Hamzah turut berkongsi usaha Bank Negara menyediakan dana RM892 juta bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di bawah Kemudahan Peralihan Rendah Karbon (LCTF) untuk memudahkan mereka beralih kepada model perniagaan yang rendah karbon.

"Secara ringkasnya, kerajaan berusaha dari segi penetapan dasar, menyediakan kemudahan serta insentif dan seterusnya memastikan pasaran turut melaksanakan (perkara itu)," katanya. – BERNAMA

Berita Harian X