Sabtu, 3 Februari 2024 | 5:18pm
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Razali Idris. - Foto fail BERNAMA
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Razali Idris. - Foto fail BERNAMA

EGM BERSATU pinda perlembagaan dalam masa terdekat

KUALA LUMPUR: BERSATU akan mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) dalam masa terdekat bagi meminda perlembagaan parti itu berkaitan tindakan ke atas ahlinya yang mengkhianati parti.

Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Razali Idris berkata cadangan pindaan itu sudah diluluskan pada mesyuarat Majlis Pimpinan Tinggi (MPT) 28 Januari lalu dan kini perincian dilakukan mengikut Perkara 10 Perlembagaan parti.

"Kita akan perbaiki sedikit cadangan pindaan seperti dipersetujui dalam mesyuarat, kemudian kita akan teliti dan mengesahkannya sekali lagi dalam mesyuarat MPT Khas.

"Selepas mendapat kelulusan, kita akan panggil EGM dalam masa terdekat, yang akan membabitkan perwakilan parti yang hadir pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) November lalu," katanya kepada BH, hari ini.

Sebelum ini, Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata parti itu akan meminda perlembagaan bagi mengambil tindakan undang-undang ke atas wakil rakyatnya yang berbuat khianat.

Wakil rakyat BERSATU yang didapati khianat boleh kehilangan kerusi.

Ia susulan keputusan mesyuarat MPT BERSATU pada 28 Januari bagi menghalang tindakan khianat dalam kalangan wakil rakyatnya daripada berulang pada masa depan.

Hamzah berkata, mesyuarat itu juga bersetuju mengambil tindakan undang-undang ke atas mana-mana wakil rakyat yang khianat bagi maksud pengosongan kerusi dan BERSATU bersedia untuk berdepan pilihan raya kecil (PRK).

Mengulas lanjut, Razali berkata, pindaan itu kelak akan membabitkan semua ahli parti, tidak terhad kepada wakil rakyat dan Senator semata-mata.

"Jika mana-mana ahli membuat sokongan (kepada pihak lain), keahliannya akan tergugur dengan sendiri. Semua ahli akan tertakluk dengan pindaan ini.

"Selepas pindaan ini diluluskan kelak, kita akan mengenakan tindakan kepada mereka yang melakukan perbuatan yang terkait dengan pindaan ini nanti (merujuk Ahli Parlimen BERSATU yang menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim)," katanya.

Setakat ini, enam Ahli Parlimen BERSATU menyatakan sokongan kepada Anwar, iaitu Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli) dan Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang).

Selain itu, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan terbaharu, Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

Syed Abu Hussin dalam sidang medianya pada 26 Januari, mendakwa seramai 10 lagi Ahli Parlimen BERSATU dijangka memberi sokongan kepada Anwar menjelang pembukaan sidang Parlimen, 26 Februari ini.

Berita Harian X